
SEMPORNA – Projek jeti bagi pendaratan feri di Pulau Bum-Bum yang menghubungkan pulau itu dengan tanah besar Semporna kini dalam perancangan untuk dibina tahun ini.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulabayan, Datuk Abdul Hajan Gurimbang berkata, projek yang memberi manfaat kepada penduduk itu dianggarkan bernilai RM5 juta.
“Pada dasarnya, Ketua Menteri dan Menteri Kewangan telah bersetuju, sekarang kita menunggu pembinaan ‘landing feri’ untuk mudahkan pergerakan dan kemudahan masyarakat dari Pulau Bum-Bum dan Semporna iaitu kawasan Tampi-tampi Timbayan dan Terusan.
“Perancangan pelaksanaan dibuat tahun ini dan jangka siap tahun depan untuk beroperasi,” katanya kepada media selepas taklimat persidangan dan penyerahan sumbangan Aidilfitri cawangan Gagasan Rakyat Bahagian DUN Sulabayan, di Semporna, pada Rabu.

Sementara mengenai inisiatif yang diumum kerajaan negeri kepada rakyat Sabah didakwa ibarat ‘gula-gula’ sebelum Pilihan Raya ke-17, Hajan tegas bantuan itu adalah tanggungjawab kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terpelihara.
“Biasa dari parti pembangkang lontarkan isu, menidakkan hak dan tanggungjawab kerajaan pada rakyat khususnya kepimpinan Hajiji yang terlalu prihatin terhadap Sabah.
“Inilah sebenarnya agenda kerajaan agar masyarakat Sabah terbela, menerima manfaat bantuan-bantuan melalui pelbagai program diperkenalkan kerajaan negeri,” tegasnya.






