KUANTAN – Tindakan tegas termasuk membatalkan lesen syarikat bas ekspres boleh diambil jika didapati menaikkan tambang melebihi harga siling ditetapkan.
Ini terpakai kepada kadar tambang bagi kategori ekonomi dan tertakluk kepada jarak perjalanan bas ekspres berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siasatan lanjut mengenai dakwaan berlaku kenaikan tambang bas ekspres menjelang sambutan Aidilfitri akan dibuat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Saya dah minta Ketua Pengarah APAD melihat dan menyiasat perkara ini dan memang tindakan tegas boleh diambil terhadap syarikat terbabit (menaikkan tambang).
“Mengenai kenaikan (tambang) kita kena tengoklah… itu tambang bas ekspres kategori ekonomi atau premium, jadi saya pun kena tunggu laporan APAD sebab yang buat aduan (kenaikan tambang) adalah (laporan) media,” katanya ketika ditemui selepas program pengagihan topi keledar percuma di Jerantut, Pahang, hari ini.
Tambang bas kategori premium ditetapkan harga lantai namun tidak mempunyai harga siling manakala bas ekspres kategori ekonomi pula ditetapkan kadar siling tambang yang dibenarkan.
Mengulas mengenai operasi bersepadu sempena Aidiifitri, Loke berkata, ia akan dilaksanakan mulai 24 Mac hingga 8 April.
Katanya, pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditempatkan di lokasi strategik bagi memantau aliran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh itu.
“Mengenai kawasan panas atau ‘hotspot’ kemalangan… macam di Pahang saja ada lebih 30 lokasi dikenal pasti dan kita akan tempatkan pegawai dan anggota JPJ di kawasan berkenaan,” jelasnya.





