SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan untuk menyiasat sebarang maklumat dikaitkan dengan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ini bermakna siasatan pihaknya tidak akan terhenti kepada perlakuan rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan penemuan wang tunai serta jongkong emas bernilai RM177 juta sahaja.
“Setakat ini siasatan dan rakaman percakapan berjalan lancar.
“Sekiranya timbul isu-isu baru, saya memberi jaminan SPRM akan terus menyiasat walaupun isu itu baru timbul,” katanya selepas menerima watikan pelantikan Profesor Adjung di Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam, semalam.
Ditanya mengenai perkembangan siasatan kes itu, Azam berkata sesi rakaman percakapan akan diteruskan kerana masih banyak perkara perlu disoal dan dijawab Ismail Sabri.
Azam berkata siasatan tidak tertumpu kepada isu berkaitan perolehan serta perbelanjaan dana bagi promosi Keluarga Malaysia, tetapi turut menjurus kepada maklumat baharu serta hasil risikan termasuk fail serta dokumen berkaitan aset diisytiharkan Ahli Parlimen Bera itu.




