KUALA LUMPUR – Negara kini memasuki fasa penyesuaian kos yang semakin jelas apabila kesan krisis bekalan global mula mempengaruhi kos pengangkutan, logistik, harga barangan dan perbelanjaan harian rakyat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pemantauan harga bahan makanan terpilih bagi tempoh 13 hingga 19 April memperlihatkan trend pergerakan harga yang bercampur.
Menurut beliau, keadaan itu menggambarkan tekanan bekalan yang tidak seragam, sebaliknya berbeza mengikut kategori serta dipengaruhi oleh faktor cuaca, kos input pertanian, kos pengangkutan dan turun naik bekalan jangka pendek.
“Harga purata ayam standard meningkat 2.8 peratus daripada RM9.09 sekilogram kepada RM9.33 sekilogram, sementara harga daging lembu menurun 5.0 peratus kepada RM35.65 sekilogram, manakala telur ayam Gred C kekal stabil pada purata RM3.66 bagi 10 biji.
“Bagi kategori ikan dan sayur-sayuran pula, harga ikan kembung menurun kepada RM16.43 sekilogram daripada RM17.08, manakala purata harga sawi meningkat daripada RM5.89 kepada RM6.21 sekilogram dan harga bayam hijau kekal stabil pada RM5.26 sekilogram,” katanya dalam taklimat khas berkaitan krisis bekalan global, hari ini.
Akmal Nasrullah turut memaklumkan bahawa Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan peningkatan purata harga diesel di Semenanjung kepada RM4.09 seliter berbanding RM2.98 pada Februari, manakala RON97 meningkat kepada RM4.01 berbanding RM3.11.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu bertindak secara pantas dan tepat berasaskan data semasa dalam menangani kesan krisis berkenaan terhadap kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan pasaran buruh, beliau berkata, trend kehilangan pekerjaan setakat ini belum menunjukkan tekanan berskala besar, namun pemantauan berterusan masih diperlukan.
“Pengalaman lalu menunjukkan impak kejutan kos tenaga kepada pekerjaan lazimnya muncul dengan sedikit jarak waktu.
“Berdasarkan data permohonan faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 4,708 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan bagi tempoh 16 hari pertama April 2026,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa suku kedua 2026 akan menjadi tempoh penting untuk menilai sama ada tekanan kos yang dihadapi syarikat mula diterjemahkan kepada langkah pengurangan operasi atau tenaga kerja.



