
KANGAR – Kerajaan negeri memaklumkan perjanjian projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) melalui syarikat konsesi telah ditandatangani semasa pentadbiran Menteri Besar terdahulu, Mohd. Shukri Ramli.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, pelaksanaan projek tersebut telah bermula sebelum beliau mengambil alih pentadbiran negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri ketika ini sedang meneliti keseluruhan perjanjian berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik susulan desakan kontraktor tempatan.
“Macam mana pun, saya difahamkan bahawa projek ini telah berjalan sebelum kehadiran saya sebagai Menteri Besar lagi dan perjanjian ini juga ditandatangani oleh kerajaan negeri semasa di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar terdahulu, Mohd. Shukri Ramli.
“Jadi macam mana pun, kita akan usaha melihat semula dan bantu membela nasib kontraktor ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menerima memorandum daripada sekumpulan kontraktor yang menggesa agar projek-projek MARRIS diserahkan semula kepada kerajaan negeri tanpa melibatkan syarikat konsesi.
Abu Bakar berkata, kerajaan negeri memahami desakan yang dibuat oleh kontraktor sebagai usaha memperjuangkan hak mereka.
Katanya, pihaknya kini melihat perkara itu daripada pelbagai sudut termasuk kepentingan kontraktor dan syarikat konsesi bagi memastikan penyelesaian yang seimbang dapat dicapai.
“Sebagai kerajaan negeri, kita menghargai dan cuba membantu sekadar termampu dalam mencapai situasi menang-menang,” katanya.



