
KOTA KINABALU – Selepas lebih 40 tahun menunggu, penduduk enam kampung di kawasan Pintasan Kota Marudu akhirnya menarik nafas lega apabila isu geran tanah yang sekian lama membelenggu hampir selesai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan berkata, penyelesaian geran tanah itu membabitkan Kampung Pantai Mas, Kampung Pintasan, Kampung Liang, Kampung Tamau, Kampung Kayu Putih dan Kampung Liang.
Beliau berkata, tanah perkampungan itu sebelum ini diletakkan di bawah rizab kampung dan rizab padang ragut tetapi didiami penduduk sejak sekian lama.
“Selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jabatan Tanah, serta dibantu bekas Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Juhar, status enam kampung itu berubah.
“Akhir 2023, pecah tanah pelancaran telah dilakukan dan dalam tempoh setahun, hampir 400 geran tanah telah berjaya diserahkan kepada penduduk,” katanya ketika sidang media, di Likas Golf Driving Range, di sini pada Isnin.
Jelas Fairuz, usaha itu sebelum ini dibuat dalam tempoh tiga tahun bermula 2020 dengan penubuhan jawatankuasa pelaksana yang melibatkan bekas Pegawai Daerah bagi memahami prosedur sebenar dalam permohonan tanah.
“Masih terdapat sedikit bahagian di salah satu kampung yang belum selesai dan Insya-Allah akan saya selesaikan Mei dan Jun,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz turut melihat potensi kawasan Pintasan sebagai lokasi bagi Taman Perindustrian Sabah yang bakal dibangunkan berdekatan Kampung Sarang atau kawasan sekitar.
“Projek ini sedang menunggu pelan pembangunan dan perancangan akhir daripada pihak berkaitan, oleh itu, saya berharap agar pembangunan ini tidak sekadar menjadi ‘land bank’ yang terbiar tanpa pembangunan selama berpuluh tahun.
“Jika dapat dimulakan dalam masa dua hingga tiga tahun, ia akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat,” ujarnya.






