
KETUA Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan pencalonannya untuk jawatan Naib Presiden parti pada pemilihan PKR pada 24 Mei depan
Fahmi berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan lanjut bersama beberapa pemimpin parti dan percaya bahawa beliau mempunyai peluang serta ruang untuk memberikan sumbangan besar kepada parti pada masa akan datang.
“Selepas penilaian dan perbincangan yang teliti, saya dapati ada ruang untuk saya menyumbang kepada parti. Keputusan ini juga dibuat selepas berunding dengan bahagian Lembah Pantai dan ahli akar umbi semasa lawatan saya ke pelbagai negeri.
“Ada ruang untuk saya menabur bakti kepada parti (PKR) dan setelah beberapa perbincangan, insya-Allah saya akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden PKR,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Bazaria di Pantai Dalam, pada Ahad.
Fahmi yang juga merupakan Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Pantai Dalam berkata, beliau dan pasukannya akan membawa kelainan dalam menyusun strategi kemenangan menjelang pemilihan parti.
“Pertandingan dalam PKR adalah pertandingan dalam keluarga, kita berusaha untuk bertanding secara sihat, elak daripada elemen tidak baik. Ini juga pesanan daripada Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Saya pernah bertanding sebelum ini dan pada waktu itu kita gunakan satu strategi. Kini, saya dan pasukan akan usahakan strategi yang berbeza,” ujarnya.
Fahmi merupakan pemimpin parti baharu yang mengumumkan pencalonannya untuk jawatan itu selepas empat penyandang mengumumkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Nurul Izzah Anwar.





