DATUK Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang sering memainkan sentimen perkauman untuk membangkitkan kegusaran dalam kalangan rakyat di negara ini.
Perdana Menteri menegaskan, tindakan sedemikian sudah lapuk, selain menyifatkannya sebagai pendekatan ‘desperado’ dalam politik.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Ke-18 di Shah Alam, hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi PH turut mengkritik pendekatan pihak terbabit yang gemar memainkan sentimen perkauman, berbanding membahaskan dasar kerajaan.
Presiden PKR itu turut menegaskan luahan berkaitan sentimen perkauman diketengahkan pihak terbabit tidak memberi gambaran situasi sebenar di negara ini.
“Tiada skandal membabitkan pimpinan negara… rasuah atau salah guna kuasa, yang ada ialah memperalatkan isu kaum (kononnya) kerajaan lemah kerana tunduk kepada kuasa parti, khususnya DAP.
“Apakah mereka tidak kenal DAP? Mereka kenal. Dalam Pakatan Rakyat dulu hampir 15 tahun Pas bersama DAP.
![]()
“Semasa PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang sekarang Bersatu pun pernah duduk semeja dengan pimpinan DAP.
“Apakah luahan mereka itu (adalah) kenyataan benar? Tidak. Luahannya adalah golongan ‘desprate’ (terdesak), ini yang dikatakan ‘desperado’ dalam politik.
“Tiada kritikan dasar (atau) pandangan baharu, tetapi bawa gendang lama (mahu) menakutkan masyarakat Melayu mengenai kemaraan kelompok Cina, apatah lagi yang diperjuangkan dengan lambang DAP,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, parti itu adalah rakan yang setia dan akan terus menyokong kepimpinan Anwar.
Katanya, komitmen itu tidak perlu dipertikaikan, malah sudah lama dibuktikan sejak era Tan Sri Lim Kit Siang sebagai Setiausaha Agung DAP sehingga kepimpinan parti diterajui Anthony Loke.
“Kini saya nak tekankan sekali lagi, DAP adalah satu rakan yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sokongan kita tidak berbelah bahagi.
“DAP berasa bangga kita boleh bantu Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri dan kita akan terus beri dukungan sedemikian.
“Mari kita bangun dan ucapkan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri atas kejayaan beliau,” katanya.


