Menteri Agama
PUTRAJAYA – Kira-kira 91 peratus daripada 31,600 bakal jemaah yang terpilih untuk menunaikan ibadat haji bagi musim 1446H/2025M sudah membuat pengesahan masing-masing menerima tawaran berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini bermakna hanya kira-kira 9 peratus kuota haji belum diisi sepenuhnya.
“Setakat hari ni, 91 peratus jemaah sudah menghantar surat penerimaan (tawaran haji).
“Maknanya mereka sudah sah akan pergi (tunai haji) dan difahamkan sudah menerima tarikh penerbangan masing-masing,” katanya selepas Program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP di ibu negara, hari ini.
Untuk rekod, TH mengeluarkan surat tawaran kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim 1446H/2025M secara berperingkat mulai 16 Disember lalu.
Mohd Na’im turut memberitahu, kira-kira 84,000 umat Islam mengemukakan rayuan bagi menunaikan haji tahun ini.
“TH terima 84,000 rayuan sedangkan kita hanya ada (kuota) sebanyak 31,600.
“Disebabkan 91 peratus (jemaah) sudah memberi jawapan, maka baki 9 peratus lagi itu akan diisi dalam kalangan 84,000 yang kemuka rayuan,” ujarnya.
Beliau berharap Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mempertimbangkan untuk memberikan kuota tambahan sebanyak 10,000 yang dikemukakan sebelum ini.


