
TAWAU – Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,500 selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol pada 2 Mac lalu.
Tertuduh, Lee Chong Hui, 71, dikenakan hukuman itu sebaik pengakuan bersalah dibuat di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin, pada Rabu.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga pemandu bas persiaran didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 12.10 tengah malam di Jalan Chong Thien Vun.
Hasil ujian saringan pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh adalah sebanyak 127 miligram etil alkohol dalam 100 mililiter darah yang mana melebihi had yang dibenarkan.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun dan denda sehingga RM30,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara empat bulan jika gagal membayar denda selain lesen memandu digantung selama dua tahun.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee manakala tertuduh diwakili peguam, Vivian Thien.





