
KUNJUNGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerlun baru-baru ini untuk meluncurkan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun merupakan rahmat kepada pesawah di kawasan MADA.
Program yang bernilai RM5.376 bilion itu diharap dapat menambahkan lagi pengeluaran padi negara supaya tidak lagi bergantung kepada import beras dari luar negara seperti hari ini.
Bagaimanapun program itu sebenarnya adalah tersirat kerana selain dari menambahkan pengeluaran padi negara, sebaliknya PMX mahu meningkatkan pendapatan pesawah di kawasan berkenaan.
Umumnya mengetahui kebanyakan kawasan MADA dikuasai oleh orang Melayu yang kebanyakannya masih di bawah garis kemiskinan.
Apabila PMX melancarkan program itu taraf pendapatan pesawah diharap dapat dipertingkatkan lagi.
Ini merupakan inisiatif yang baik dan tiada pernah kerajaan sebelum ini melakukannya secara bombastik.
Semenjak PMX memegang tampuk kepimpinan hari ini kita sudah hilang suara-suara dari penoreh getah yang dibelenggu dengan harga semasa.
Kejayaan Kerajaan Madani berjaya mengekalkan harga getah pada hari ini sekitar RM3.50 hingga RM4 sekilogram menyebabkan ramai penoreh mampu tersenyum lebar dan tidak mengeluh lagi.
Begitu juga dengan pesawah PMX mahukan taraf hidup mereka turut dinaikkan dan keluar dari kepompong kemiskinan.
Pelancaran tanaman padi lima musim dalam dua tahun diibaratkan seperti kerajaan memberi joran kepada mereka berbanding memberi ikan setiap kali mereka memerlukan bantuan.
Sampai bila golongan ini akan disogokkan dengan memberi ikan sahaja hingga boleh melahirkan pesawah yang tidak produktif.
Setiap kali menjelangnya musim persekolahan, hari raya atau bencana alam sekali pun mereka pasti akan terkesan terutamanya pesawah dan penoreh kerana pendapatan mereka yang tidak tetap.
Apa pun pelancaran program itu sangat baik dan menjadi serampang dua mata kepada keluarga pesawah dan produktiviti pengeluaran padi negara.
Bagaimanapun pelancaran itu memberi tamparan kepada MADA kerana sejauh manakah agensi kerajaan itu dapat memainkan peranan dalam menjadikan program itu menjadi kenyataan.
Penulis telah bergelumang kian lama dengan pesawah dan MADA terutamanya dalam menyelesaikan sesuatu masalah malah kadang kalanya hingga sukar diselesaikan.
Melalui peruntukkan yang besar itu diharap tiada lagi jawapan atau alasan yang diberi kepada pesawah dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Jawapan yang paling popular diberi oleh MADA dalam menyelesaikan sesuatu masalah kepada pesawah ialah tiadanya peruntukan.
Melalui jawapan itu akhirnya segala masalah yang dihadapi oleh pesawah sebelum ini tidak dapat diselesaikan.
Dalilnya sistem saliran dipenuhi dengan beberapa jenis tanaman rumpai air hingga menyebabkan aliran sungai turut terganggu.
Malah semasa turun membuat tinjauan penulis sendiri pernah berjalan di atas air yang ditutupi dengan rumpai air dan ini menunjukkan sekian lama saliran itu tidak dibersihkan.
Masalah ini kadang kalanya diibaratkan seperti lagu ‘bangau oh bangau’ dan akhirnya tiada penyelesaiannya.
Bagaimanapun dengan peruntukan besar ini mainan lagu ‘bangau oh bangau’ tidak akan didendangkan lagi dan segala masalah dapat diselesaikan dengan baik dari kedua-dua belah pihak.
Sikap pesawah juga turut memberi kesan kepada pendapatan mereka kerana ada dalam kalangan pesawah mengambil sikap tidak bersungguh-sungguh walaupun dilimpahi dengan pelbagai bantuan.
Ini terbukti dengan tinjauan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum peluncuran program di beberapa tempat masih lagi terdapat kawasan sawah yang mengecewakannya.
Projek tanaman padi yang diusahakan oleh sesetengah pesawah dengan mengamalkan konsep 3T iaitu tanam, tinggai dan tuai hingga sawah mereka dipenuhi dengan lalang dan rumput.
Sekiranya sikap pesawah masih lagi tidak berubah hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran padi negara pasti tidak tercapai.
Diharap dengan peruntukan yang besar ini pesawah dan MADA tidak lagi menunding jari di antara satu sama lain dalam menjadikan negeri jelapang padi itu sebagai pengeluar padi utama di Malaysia nanti.





