
LAHAD DATU – Sebagai usaha memenuhi keberkatan bulan Ramadan sekali gus memperkasa Pendidikan Islam, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Anjung Teduh mengambil inisiatif membantu pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) mempelajari amalan dan ganjaran diperoleh sepanjang bulan istimewa tersebut.
Penyelianya, Azaliana Welley, 29, berkata, usaha itu dibuat sebagai pendedahan kepada pelatih berumur lima tahun ke atas untuk mengaplikasikannya secara berterusan.
“Antara pengisian bersama pelatih di PDK adalah mengajar mereka mengenal huruf hijaiyah, bersama-sama membaca Al-Quran, sedekah dan berzikir.
“Setakat ini semua pelatih masih lagi dalam proses pembelajaran mengenal huruf hijaiyah bagaimanapun kita juga menerapkan kepada mereka melakukan perkara-perkara kebaikan lain,” katanya kepada The Malaysia Press.
Azaliana berkata, menjadi cabaran kepadanya bersama tiga petugas PDK dalam membantu pelatih kerana masih sukar mengenal huruf hijaiyah walaupun telah diberi penerangan berkali-kali.
Jelasnya, PPDK Anjung Teduh mempunyai dua kelas berkaitan pengisian Al-Quran dan Iqra pada hari biasa persekolahan pada setiap bulan bermula pukul 8.30 pagi hingga 9 pagi.
Antara aktiviti lain yang turut diberi pendedahan adalah amali solat termasuk cara berwuduk dengan sempurna, bacaan doa harian sebelum meninggalkan PDK dan juga tazkirah ringkas.






