
KETIKA melancarkan Jentera Barisan Nasional (BN) bagi mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, pada Isnin, Pengerusi BN – Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menzahirkan komitmen Kerajaan Perpaduan membela rakyat lebih-lebih lagi jika berkuasa di kawasan itu.
Sehubungan dengan itu, beliau mengharapkan pengundi di kawasan DUN itu nanti memilih Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang merupakan calon BN sekali gus wakil Kerajaan Perpaduan.
Dengan penuh yakin beliau menyatakan bahawa banyak kemajuan akan dibawa ke situ demi masa depan yang lebih baik kepada penduduk pelbagai lapisan masyarakat.
Perakuan itu sejajar dengan roh tatakelola Malaysia Madani yang antara lainnya dapat difahami bahawa segala-galanya diurus tadbir dengan baik tanpa mengambil kira perbezaan fahaman politik.
Sambil mengakui bahawa cabarannya besar dan pelbagai, beliau menghormati usaha dan ketulusan Perdana Menteri membawa perubahan kepada rakyat Kelantan terutama dalam perkara yang bersifat keperluan asas.
Dalam ucapannya di Dewan Orang Ramai di Kampung Cekati yang dihadiri ribuan penyokong BN serta wakil pemimpin pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid menegaskan, Malaysia Madani merupakan model pentadbiran terbaik.
Penulis yang turut hadir dalam majlis tersebut membuat tanggapan bahawa ungkapan Ahmad Zahid itu mungkin berasaskan kesabaran, kesaksamaan, akal budi, dan nilai kasih sayang yang diperlihatkan oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX).
Dalam keadaan dicerca, dimaki hamun, malahan difitnah seolah-olah ‘tiada hari esok’ oleh sebahagian penyokong pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) masih mampu menghulur bunga kepada pihak lawan.
Tidaklah keterlaluan kalau dikatakan bahawa kekerapan dan peratusan beliau melawat empat negeri yang dikuasai pembangkang lebih tinggi ketimbang negeri yang dikuasai Kerajaan Perpaduan.
Dalam isu penyelesaian masalah bekalan air bersih di Kelantan, umpamanya, jumlah yang diperuntukan kepada negeri itu bukanlah kecil, begitu juga dengan bantuan serta-merta kepada mangsa banjir.
Tidak ada istilah pilih kasih dan peminggiran ke atas negeri tersebut, malahan Kelantan seolah-olah lebih istimewa di mata PMX dari beberapa segi, contohnya kesegeraan ambil maklum akan sesuatu permasalahan.
Sekiranya semua itu dilihat dari reaksi pembangkang terutama dalam media sosial yang dipenuhi naratif jahat, seolah-olah tidak berbaloi DSAI berbuat baik kepada mereka.
Peruntukan dan kasih sayang kepada Kedah juga tidak pernah diabaikan, sekalipun Menteri Besarnya kerap mengeluarkan kenyataan yang tidak bertatasusila dan sangat jauh tersimpang daripada akhlak Muslim yang baik.
Ketika tanggungkawab kepada Perlis dilaksanakan dengan baik, perhatian serius juga diberi kepada Terengganu, sekalipun bertebaran tohmahan bahawa PMX memungkiri janji dan tidak membayar royalti petroleum kepada negeri tersebut.
Di sini terserlah permainan tidak bermoral pihak pembangkang yang masih lagi cuba mengelirukan rakyat berkaitan status royalti petroleum. Dalam konteks ini, mereka membelakangkan ajaran agama yang menganjurkan semua pihak berkata benar.
Demikianlah besar jiwa, tabah, sabar, baik, dan tenangnya PMX sebagai peneraju Malaysia Madani. Beliau ibarat seorang ayah yang sanggup berkorban membentuk peribadi ahli keluarganya sekalipun dirinya sangat terdera.
Oleh sebab itu, diseru kepada pengundi di DUN Nenggiri (N.43), pilihlah calon Kerajaan Perpaduan pada PRK 17 Ogos 2024 nanti.
Jentera parti pula perlu menjadikan kekalahan dengan 810 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos 2023 lalu sebagai cabaran untuk diubah kepada kemenangan.







