
DALAM mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama, kesefahaman sangat penting yang perlu dipupukkan.
Namun, usaha tersebut bukanlah mudah kerana ia memerlukan pencerahan pemikiran daripada peringkat usia yang awal.
Baru-baru ini, terdapat segelintir pihak cuba menyemai benih-benih kebencian demi mencapai cita-cita politik dan kepentingan peribadi mereka.
Apakah punca utama dan mengapakah timbulnya kebencian yang mungkin menggugatkan keharmonian masyarakat majmuk?
Pada pendapat penulis, benih-benih kebencian ini berlaku disebabkan kecetekan ilmu pengetahuan tentang agama.
Disebabkan kejahilan masyarakat, mulalah segelintir pihak cuba mengisikan kelompongan tersebut.
Melalui kelompongan tersebut, pihak yang tidak bertanggungjawab mula menyemai rasa kebencian secara perlahan-lahan kononnya atas nama kesucian agama.
Kemunculan Khawarij
Sebenarnya perkara ini bukanlah baru berlaku tetapi sejarah Islam sudah mencatatkan ketaasuban beragama semenjak tercetusnya Perang Siffin, Perang Jamal dan Perang Nahrawan.
Kemunculan golongan yang merasakan diri mereka suci iaitu Khawarij kerana menganggap keputusan Khalifah Ali bin Abi Thalib RA berdamai dengan Muawiyah bin Abi Sufyan salah di sisi hukum Allah.
Oleh itu, mereka keluar daripada barisan tentera Khalifah Ali lalu mencetuskan fitnah yang hampir-hampir memusnahkan perpaduan umat Islam.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, ketaasuban beragama terus bermekar dengan munculnya golongan sesat seperti Syiah Ismailiyah dan Kassaniyah.
Golongan Syiah sememangnya terkenal dengan ketaasuban mereka dengan Khalifah Ali sehingga mereka dipergunakan oleh Bani Abbasiyah untuk menggulingkan Khalifah Umayyah.
Namun, golongan Syiah tetap menjadi sasaran Bani Abbasiyah apabila khidmat mereka tidak digunakan lagi sehingga diburu di segenap penjuru empayar Islam.
Ketaasuban beragama bukan hanya terhad kepada golongan Syiah tetapi golongan yang Sunni turut mengalami perkara yang sama.
Kemunculan Daulah Saud dengan fahaman Wahabi yang dibawa oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab yang menentang kekhalifahan Uthmaniyah.
Fahaman Sunni yang terlalu keras ini juga menjadi penyumbang utama kepada kemunculan kumpulan pengganas seperti al-Qaeda dan Daesh.
Ideologi politik yang ekstrem
Ketaasuban bukan hanya terhad kepada agama semata-mata ideologi politik.
Ketika Perang Dunia Kedua, dunia menyaksikan kemunculan Parti Nazi Jerman di bawah pimpinan Adolf Hitler.
Adolf Hitler percaya hanya bangsa Jerman yang layak hidup dan bangsa- bangsa lain seperti Yahudi layak untuk dihapuskan.
Akibatnya, seluruh dunia menyaksikan kemusnahan yang begitu dahsyat sehingga berjuta-juta umat manusia kehilangan nyawa akibat ketaasuban kepada ideologi politik.
Perkara seperti inilah yang kita tidak mahu berlaku di negara tercinta akibat pemikiran taasub kepada agama dan ideologi politik.
Pendekatan wasatiyyah atau sederhana sangat penting dalam mengekalkan keharmonian dan keamanan masyarakat sejagat.
Kita perlu ingat sebuah taman bunga tidak akan cantik jika hanya satu jenis bunga yang ditonjolkan.
Kepelbagaian masyarakat majmuk membentuk keunikan yang kita perlu kongsikan bersama-sama.
Penulis sangat bersetuju dengan keputusan Kementerian Komunikasi mewajibkan semua platform media sosial untuk memohon lesen operasi mulai 1 Januari 2025.
Langkah ini bukan sahaja memerangi jenayah penipuan siber buli atau penipuan dalam talian semata-mata.
Tetapi mengekang penularan pemikiran yang bahaya kepada masyarakat berbilang kaum dan agama.
Ayuh kita sebagai rakyat Malaysia menolak sebarang anasir dan ideologi yang menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum demi kepentingan masa depan negara.
Semoga negara Malaysia terus dirahmati dan dilindungi oleh Allah SWT.