
SARATOK – Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Dadah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dalam satu operasi khas yang dijalankan di kawasan Roban, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 11.40 pagi oleh sepasukan Task Force Khas IPD Saratok hasil maklumat awam.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, pasukan yang diketuai oleh Inspektor Henry telah menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, suspek yang berasal dari Roban itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Saratok bagi menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.”
“Semakan lanjut juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” jelasnya.
Tambah beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.







