
AMBOI! Tiba-tiba pembangkang di Malaysia nak jadi ‘Super Hero’ penyelamat dunia bila bercakap mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Hiruk-pikuk di seluruh platform media pembangkang menghasut rakyat kononnya PSB ini akan meminggirkan pemilik hartanah terutamanya di bandar.
Bahkan, penyokong mereka menjaja cerita karut saban hari menghasut rakyat membenci Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani kononnya tidak cakna menjaga dan membela nasib rakyat di bandar.
Sudah terang lagi bersuluh RUU PSB ini adalah usaha Kerajaan Madani memastikan kehidupan rakyat di bandar lebih mampan dan terbela namun pembangkang masih lagi nak menegak benang yang basah.
Terbaharu, Pemuda Pas merancang mengadakan perhimpunan bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan RUU PSB kononnya boleh mengancam hak pemilik hartanah terutamanya penduduk bandar yang kurang berkemampuan.
Mereka menyifatkan RUU PSB sebagai satu bentuk penjajahan moden yang bakal mengusir penduduk bandar dari tanah mereka, seakan-akan strategi yang pernah digunakan terhadap rakyat Palestin.
Hakikatnya, RUU PSB ini belum pun dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat, tetapi pembangkang gelojoh membuat kerja-kerja fitnah ini demi kepentingan politik mereka.
Malang bagi Malaysia ketika ini apabila memiliki barisan pembangkang yang lemah, kurang kompeten, semberono dan tidak membuat ‘kerja rumah’ sekali gus menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan.
Pembangkang lupa RUU PSB telah dibangunkan selama lebih 10 tahun, tanpa sebarang cadangan bahawa pemilik tanah asal akan diusir secara paksa dari tanah atau premis mereka.
Pembangkang juga lupa komitmen bagi melaksanakan pembaharuan di bawah RUU ini turut dinyatakan beberapa menteri, termasuk yang kini berada di blok pembangkang.
Pada 2020 Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa menerajui program pembaharuan ini, terutama rumah mangsa yang berusia lebih 40 tahun.
Malah pada 2021, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin memulakan penggubalan RUU PSP dan pada Mac 2022, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meneruskan serta menegaskan prinsip sama.
Menariknya pada September 2022, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan memaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengenal pasti 30 kawasan untuk pembaharuan semula.
Seperti yang dijelaskan oleh Anwar pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Selasa lalu, sebanyak 74 kali sesi libat urus telah diadakan sejak 2012 bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi rakyat.
“Jadi, soal gopoh (dalam membuat cadangan RUU PSB) itu, saya tidak faham mengapa dibangkitkan sekarang,” kata Perdana Menteri.
Justeru, rakyat perlu tahu beberapa intipati penting RUU PSB yang akan dibentang pada Julai nanti.
RUU PSB akan memastikan perancangan bandar akan datang lebih mampan dan teratur di samping tidak meminggirkan penduduk asal.
RUU PSB bertujuan membangunkan semula kawasan bandar sedia ada supaya lebih selesa untuk didiami dan membolehkan penduduk bekerja serta menggunakan pengangkutan awam.
RUU itu bertujuan mengubah landskap bandar dengan membangunkan semula kawasan usang serta tidak teratur.
Status tanah asal, sama ada Tanah Rizab Melayu atau mana-mana status sedia ada, kekal tidak berubah.
RUU PSB merupakan salah satu cara yang boleh membantu membangunkan kediaman orang Melayu yang daif di tengah kota Kuala Lumpur tanpa menjejaskan hak mereka.






