
JIKA diperhatikan secara teliti dan mendalam, ada satu corak besar yang sedang cuba dibentuk dalam landskap pentadbiran negara hari ini.
Terasnya tidak hanya berkisar tentang angka pertumbuhan ekonomi, pelaburan asing atau projek pembangunan semata-mata, tetapi lebih kepada usaha pembinaan semula jiwa masyarakat melalui budaya ilmu, penghayatan agama dan pembinaan akhlak sosial yang bertamadun.
Barangkali perkara ini kurang mendapat perhatian, kerana ianya jauh dari nilai-nilai murahan politik yang lazim kita amati.
Namun jika diamati sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pendekatan tersebut diterjemahkan secara konsisten, sama ada melalui ucapan pemimpin negara termasuk PMX sendiri, dasar kerajaan, program pendidikan, forum intelektual dan pendekatan pentadbiran Kerajaan MADANI itu sendiri.
Kesemuanya lebih menekankan nilai kemanusiaan.
Betul, suasana politik hari ini semakin dipenuhi budaya maki hamun, fitnah, ekstremisme, materialisme dan ketandusan adab.
Namun, masih ada usaha untuk membawa semula bahasa kesederhanaan, budaya membaca, penghormatan terhadap ilmu dan kepentingan membina masyarakat yang berfikir.
Pendekatannya juga lebih bersifat merakyat bahkan kerap dizahirkan melalui bahasa tubuh PMX sendiri yang tidak kekok.
Pemanifestasiannya juga tidak hanya berbicara soal keuntungan ekonomi atau pencapaian pembangunan fizikal semata-mata, tetapi cuba mengingatkan masyarakat bahawa kemajuan negara tanpa pembangunan jiwa akhirnya akan melahirkan generasi yang kosong nilai dan identiti.
Sebab itu, semakin kerap kita melihat penekanan terhadap budaya budi bahasa, saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan membina masyarakat yang mempunyai belas ihsan sesama manusia.
Dalam realiti sebenar hari ini, pendidikan tidak lagi hanya sekadar segulung ijazah bagi mendapatkan pekerjaan, tetapi merupakan sebagai proses pembentukan karakter manusia yang mampu berfikir, memiliki akhlak dan nilai kemanusiaan yang kuat.
Namun pada masa sama, pembangunan teknologi itu cuba diseimbangkan agar rakyat tidak tercabut daripada akar budaya, identiti bangsa dan nilai ketimuran yang menjadi asas masyarakat Malaysia sejak sekian lama.
Kesemua langkah ini digarap bersekali melalui penekanan secara inklusif terhadap pendidikan bertunjangkan kemahiran seperti TVET, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan latihan semula tenaga kerja.
Dalam konteks keagamaan pula, pendekatan yang dibawa lebih menekankan kesederhanaan dan keharmonian sosial berbanding politik kebencian yang memecahbelahkan masyarakat.
Wacana dialog, penghormatan antara agama dan usaha mengurangkan ketegangan kaum dilihat semakin diberi ruang dalam pembinaan negara.
Jika diselami dengan berhati-hati, banyak inisiatif hari ini sebenarnya cuba menghidupkan kembali budaya intelektual dalam masyarakat. Forum ilmu, diskusi pemikiran, dialog akademik dan penglibatan golongan ilmuwan semakin diberi tempat dalam perbahasan nasional.
Sudah tentu pendekatan seperti ini mungkin dianggap terlalu idealistik oleh sesetengah pihak, khususnya dalam era politik moden yang kadangkala terlalu agresif dan emosional.
Namun sejarah ketamadunan manusia menunjukkan bahawa sesebuah bangsa tidak runtuh kerana kemiskinan semata-mata. Banyak tamadun besar runtuh apabila masyarakatnya kehilangan adab, kehilangan budaya ilmu dan hilang rasa kemanusiaan sesama sendiri.
Sebuah negara mungkin mampu membina bangunan pencakar langit, memiliki teknologi canggih dan ekonomi yang berkembang pesat. Tetapi jika generasinya semakin kasar, membenci ilmu, memandang rendah akhlak dan hilang budaya hormat, maka pembangunan itu akhirnya hanya tinggal kemajuan yang kosong jiwanya.
Barangkali itulah antara kegusaran terbesar yang sedang cuba dibentuk semula oleh Kerajaan MADANI hari ini, iaitu bagaimana memastikan negara terus bergerak ke hadapan tanpa kehilangan nilai-nilai ketimuran, adab dan kemanusiaan yang selama ini menjadi asas kepada wajah masyarakat majmuk negara ini.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)







