ROMPIN – FELCRA meletakkan sasaran pengeluaran 1.5 juta ayam pedaging setahun melalui Kompleks Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) FELCRA Berhad di Tanjung Seratus, dekat Kuala Rompin.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kompleks seluas 20 hektar itu beroperasi sepenuhnya bulan ini dengan 10 reban ternakan, setiap satu menampung 30,000 ekor ayam bagi setiap pusingan.
Beliau berkata, dianggarkan kompleks ternakan menggunakan peruntukan geran RM60 juta di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-12, mampu mengeluarkan secara konsisten 1.5 juta ekor ayam setahun.
“Peruntukan ini adalah tanda keyakinan kerajaan kepada FELCRA Berhad dalam melaksanakan aktiviti keterjaminan makanan negara.
“Sistem ternakan ayam secara tertutup ini menggabungkan teknologi moden dan amalan penternakan baik yang membolehkan ayam mencapai berat ideal dalam tempoh antara 28 hingga 30 hari, lebih cepat berbanding sistem terbuka,” katanya ketika berucap merasmikan kompleks itu, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan kerajaan komited memastikan setiap rakyat negara ini menikmati akses kepada makanan mencukupi, selamat dan berkhasiat.
Beliau berkata kestabilan bekalan makanan memerlukan perhatian serius, lantas menuntut pendekatan ‘whole-of-nation’ membabitkan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan pengusaha secara individu.







