
TAWAU – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MylPO) menerima sebanyak 2,196 permohonan harta intelek dari Sabah sepanjang 2020 hingga 2024.
Pengerusinya, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, permohonan itu mencerminkan peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan perlindungan harta intelek.
“Dengan lebih banyak perniagaan Sabah yang berorientasikan produk tempatan dan berasaskan warisan, perlindungan hak harta intelek seperti cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hak cipta dapat membantu meningkatkan nilai komersial serta daya saing mereka di pasaran.
“Potensi Sabah sangat baik terutama dari sudut keunikan suatu tempat dan setiap lokasi ada produk ‘origin local’,” katanya kepada media selepas merasmikan Pejabat Satelit MylPO Tawau, di Bangunan T2 Apas, di sini, pada Rabu.
Menurut Zuhan, Sabah juga merupakan antara negeri yang mencatatkan jumlah pendaftaran Petunjuk Geografi (GI) yang tinggi serta diiktiraf iaitu produk tempatan seperti Tawau Koko, Kopi Tenom, Kolupis Sabah, Sabah Tea dan Amplang Tawau.
Katanya, dengan kewujudan pejabat satelit ini, lebih ramai usahawan, pencipta dan pemegang hak harta intelek dapat mengakses kemudahan yang lebih dekat dan efisien seiajar dengan usaha memperkukuhkan ekosistem inovasi dan daya saing perniagaan tempatan.
“Pejabat satelit itu turut memperkasakan usahawan tempatan dengan pengetahuan dan bimbingan mengenai perlindungan harta intelek yang sekali gus membantu mereka memastikan keunikan produk tempatan mendapat perlindungan sewajarnya (tidak diciplak),” ujarnya.
Jelas Zuhan, MyIPO beroperasi di Johor, Melaka, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak selain di Sabah iaitu Kota Kinabalu serta terbaharu di Tawau.







