KUALA LUMPUR – Permuafakatan antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan syarikat minyak negeri, Petroleum Sarawak (PETROS) wajar dimeterai bagi memenuhi kerukunan di atas semangat Persekutuan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, kerjasama dan persefahaman itu dijelmakan melalui Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO) dan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025 yang dibaca bersama Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144).
Katanya, kerjasama itu tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada Petronas dan anak syarikatnya, sekali gus meletakkan semua perjanjian (contractual obligations) domestik dan antarabangsa sedia ada kekal di bawah entiti berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, permuafakatan itu dibuat supaya tatakelola dasar dan pengembangan industri petroleum serta gas terus disemarakkan dan memenuhi mandat Akta 144 dengan mengambil kira peranan PETROS selanjutnya.
Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak juga bermuafakat untuk mengiktiraf Akta 144 sebagai akta Persekutuan seperti yang tertera dalam peruntukan undang-undang.
“PETROS di bawah DGO dijamin memperoleh gas asli sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya.
“PETROS juga berwewenang meluaskan kegiatan baharu dan memanfaatkan kerjasama dengan Petronas.
“Petronas dan PETROS akan bergerak sederap sebagai rakan bagi menjamin kepentingan dan hasil negara serta Sarawak, selain segala rundingan terperinci berikutnya bakal mengekalkan manfaat dan kepentingan bersama mengikut prinsip komersial secara telus,” katanya pada sesi penerangan aktiviti petroleum di Sarawak di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan mengenai aktiviti petroleum di Sarawak di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai peranan Petronas, Anwar berkata, ia telah memenuhi mandat negara dengan pengurusan mantap sehingga terkenal sebagai di antara gergasi di dalam industri petroleum dunia malah muncul sebagai di antara penjana hasil utama belanjawan negara selama hampir setengah abad.
“Petronas telah menyempurnakan tugas dengan menjamin pengagihan kepada semua negeri.
“Kini dengan kemunculan syarikat minyak negeri iaitu PETROS, ada kewajaran untuk dimantapkan persefahaman dan kerjasama bagi memenuhi kerukunan atas semangat Persekutuan,” katanya.








