
SKUDAI – Selepas lebih dua dekad berdepan isu banjir kilat yang berlarutan, penduduk di sekitar Jalan Zapin 3, Jalan Ronggeng 4 dan Kampung Poh Chee Leng akhirnya boleh menarik nafas lega apabila projek tebatan banjir bernilai RM5 juta kini direalisasikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, berkata projek berkenaan merupakan hasil usaha berterusan selama empat tahun sejak beliau mula berkhidmat di kawasan itu, walaupun berdepan kekangan sebagai wakil rakyat bukan dari blok kerajaan dan juga tidak mempunyai sebarang wakil dalam kerajaan tempatan.
Menurut beliau, kawasan terlibat merupakan bahagian hilir sistem perparitan Skudai yang menerima aliran air dari pelbagai taman sebelum disalurkan ke Sungai Skudai, sekali gus menjadikannya antara lokasi paling terdedah kepada banjir setiap kali hujan lebat.
“Walaupun tidak berada dalam blok kerajaan, saya tetap berpegang kepada prinsip bahawa dengan usaha berterusan, pendekatan serius dan sikap pragmatik, kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri tetap boleh dibina,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, setiap kejadian hujan lebat akan disusuli dengan tindakan segera menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan selain turun padang bagi menilai sendiri punca sebenar permasalahan.
Hasil perbincangan berterusan bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri serta sokongan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Mohd Jafni Md Shukor, projek tersebut akhirnya diluluskan dan dilaksanakan.

Antara skop utama projek termasuk pembinaan kolam takungan bawah tanah berasaskan sistem modular (On-Site Detention, OSD) pertama di Johor di Jalan Zapin 3 lengkap dengan sistem pintu air bagi mengelakkan aliran balik air. Selain itu, kerja pembinaan tambatan banjir di sepanjang Jalan Zapin 3 dan Jalan Ronggeng 4 turut dilaksanakan.
Turut menjadi komponen penting projek ialah kerja lencongan aliran air di Kampung Poh Chee Leng serta pembinaan kolam takungan modular di Jalan Baung bagi mengawal kelajuan aliran air dari kawasan berkenaan.
Menurut Marina, projek ini bukan sekadar penambahbaikan infrastruktur semata-mata, malah mencerminkan lonjakan dalam penggunaan teknologi moden bagi menangani isu banjir di negeri Johor.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keberkesanan projek tersebut masih memerlukan masa untuk dinilai sepenuhnya, terutama selepas diuji dengan hujan lebat, selain menekankan keperluan penambahbaikan berterusan terhadap sistem perparitan sedia ada.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar MBIP serta semua pegawai jabatan yang terlibat atas komitmen dan kerjasama sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
“Ini adalah hasil usaha bersama demi kepentingan rakyat. Apa yang dijanjikan, kami laksanakan selangkah demi selangkah,” katanya.






