
KUALA LUMPUR – Sarawak menikmati peruntukan bernilai RM280 bilion hasil manfaat pembangunan industri minyak dan gas di wilayah berkenaan sejak 1976 merangkumi pelaburan huluan (upstream investment) dan infrastruktur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, daripada jumlah pelaburan huluan tersebut, dianggarkan lebih RM90 bilion nilai kontrak yang dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun lepas di antara tahun 2014 hingga 2024 selain kontrak bernilai RM40 bilion dinikmati oleh syarikat vendor berdaftar dari Sarawak dalam tempoh sama.
“Daripada segi pulangan kewangan, Sarawak menerima bayaran tunai bernilai RM49 bilion sehingga Disember lalu serta Bayaran Cukai Jualan sebanyak RM18.66 bilion, hingga suku ketiga 2024.
“Dividen sebanyak RM28.6 bilion diperolehi melalui pegangan saham ‘State Financial Secretary of Sarawak’ (SFS) dalam Syarikat Kumpulan MLNG, sehingga Disember lalu.
“SFS adalah syarikat diperbadankan di bawah ‘State Financial Secretary (Incorporation) Ordinance, 1948,” katanya pada sesi penerangan aktiviti petroleum di Sarawak di Dewan Rakyat pada Isnin.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) juga sudah menyumbang secara langsung kepada usaha pembangunan modal insan warga Sarawak.
Sepanjang 10 tahun lalu, beliau berkata, lebih RM600 juta sudah dibelanjakan bagi pelbagai usaha pendidikan dan pembangunan modal insan, manakala lebih 680,000 warga Sarawak mendapat tajaan dalam bentuk biasiswa selain program latihan untuk warga pendidik.
Anwar berkata, lebih 4,300 warga Sarawak pula mendapat peluang pekerjaan di dalam Petronas bagi tempoh sama.
“Diingatkan, hasil mahsul (hasil sesebuah negara yang dieksport) besar diraih selama ini oleh negara sehingga dapat kita jadikan dana Petronas sebagai dana utama di peringkat awal pembentukan negara dan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
“Ini semua berkat Sarawak dan kerjasama erat dan akrab kerajaan negeri dan Persekutuan. Maka sebab inilah kita memilih untuk memberi sedikit penyesuaian dan pengiktirafan kepada peranan PETROS untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana muafakat ini terus dikekalkan malah ditambah mantapkan buat menjamin kesejahteraan negara dan Sarawak.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada rakan di Petronas dan Jemaah Menteri yang bersetuju dan Premier Sarawak serta kerajaan negeri kerana kerjasama yang diberikan sepenuhnya,” ujarnya.




