JOHOR BAHRU – Kesemua institusi pendidikan Islam swasta (IPIS) termasuk peringkat pendidikan awal kanak-kanak yang beroperasi di negeri Johor diwajibkan mendaftar dengan Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia penting sebagai usaha mengawal dan memastikan institusi tersebut diurus tadbir dengan baik bagi menjaga kebajikan pelajar dan diajar akidah yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Kerajaan menyedari dan menghargai peranan yang dimainkan oleh mana-mana individu atau organisasi bukan kerajaan dalam menyumbang perkembangan pendidikan Islam, namun institusi ditubuhkan wajib didaftarkan sebagaimana kehendak Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (EPSAI) 1991.
“Ia menyebut bahawa, mana-mana Sekolah Agama Islam di dalam Johor atau mana-mana tempat termasuklah masjid, madrasah, surau, pusat Islam, balai Islam, pondok dan tadika terdiri daripada lima orang atau lebih yang mempelajarinya atau akan diajari mata-mata pelajaran termasuklah mana-mana mata pelajaran berhubung dengan Agama Islam (wajib berdaftar) kecuali Sekolah Agama yang berada di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, proses pendaftaran ini juga penting sebagai usaha menambahbaik sistem pendidikan Islam merangkumi pemerkasaan undang-undang, kebajikan dan latihan pengajar agar pendidikan Islam di Johor terus dipelihara dan diperkasa secara terancang bagi menjaga kesucian agama Islam.
“Sehingga kini sebanyak 229 IPIS telah berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) merangkumi 40 buah sekolah rendah Islam, sekolah menengah Islam (10), maahad tahfiz (149), madrasah pondok (22) dan lapan madrasah malabar Johor.
“Terdapat 25 lagi IPIS yang sedang melengkapkan proses pendaftaran manakala 247 lagi IPIS yang diketahui beroperasi belum memulakan proses pendaftaran,” katanya.
Ujar beliau, adalah menjadi kesalahan bagi IPIS yang mengandungi ciri-ciri enakmen dinyatakan untuk beroperasi tanpa didaftarkan dan perkara itu boleh dikenakan tindakan.






