
RAMALLAH – Pencerobohan Israel telah memusnahkan 85 peratus kemudahan air dan kumbahan di Semenanjung Gaza, menurut Pihak Berkuasa Air Palestin (PWA).
Akibat kemusnahan besar dalam sektor ini, PWA menegaskan bahawa Semenanjung Gaza kini berdepan krisis air minuman yang kritikal, selain ancaman segera akibat kerosakan loji rawatan kumbahan.
Kerosakan ini menyebabkan air kumbahan melimpah ke kawasan kediaman dan menyebarkan wabak dalam kalangan penduduk.
PWA membuat pengumuman ini dalam mesyuarat ‘Thematic Cluster on Water’ di bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki.
Ketika berucap dalam mesyuarat tersebut, ketua Thematic Cluster on Water, Marwan Bardawil, menyatakan bahawa penjajahan Israel telah menyebabkan sektor air mengalami kerugian lebih daripada $1 bilion.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebelum serangan ketenteraan Israel bermula pada Oktober 2023, PWA telah berjaya menjadikan Gaza daripada kawasan yang tidak boleh didiami kepada kawasan yang mempunyai akses kepada air minuman bersih.
Bardawil menambah bahawa PWA telah melaksanakan pelbagai usaha kecemasan, termasuk membekalkan air ke seluruh Semenanjung Gaza, membaik pulih sistem bekalan air, dan mengendalikan telaga air dengan segala sumber yang ada.
Dalam fasa tindak balas kecemasan, beberapa langkah segera diperlukan, antaranya pembekalan unit penyahgaraman air berkuasa solar dengan kapasiti antara 20 hingga 500 meter padu sehari, lapor Agensi WAFA.





