
TUARAN – Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas melakukan aktiviti mandi-manda bersama keluarga di Pantai Shahbandar, di sini pada awal pagi, Khamis.
Mangsa yang berumur 15 tahun ditemukan meninggal dunia hari ini pada pukul 5.50 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Nor Amit berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada pukul 5.52 petang, Rabu.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.08 petang selepas pemanggil memaklumkan terdapat mangsa dikhuatiri lemas di situ.
“Seterusnya, pasukan bomba bertindak mendapatkan maklumat dan kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sepanjang kawasan pantai,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Nor, mangsa ditemukan oleh pasukan bomba dan ahli keluarganya pada jarak 700 meter dari kedudukannya dilaporkan dikhuatiri lemas.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada pukul 8.30 pagi,” katanya lagi.




