
ALOR SETAR – Lima suspek yang ditahan polis berhubung kematian dua lelaki yang ditemukan rentung di sebuah rumah di Tongkang Yard, Selasa lalu, disambung reman tujuh hari lagi untuk membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali, bermula hari ini sehingga 3 Februari depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesemua mereka berusia 19 hingga 53 tahun ditahan pada hari kejadian sebelum direman bermula Rabu lalu sehingga hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dalam sidang media sebelum ini berkata, kelima-lima suspek ditahan sejurus selepas kejadian.
Katanya, pada awalnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan lanjut polis bersama bomba menemukan bahan api yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Fisol berkata, siasatan mendapati terdapat bau petrol dan botol mineral yang mengandungi separuh bahan api itu di tempat kejadian.
Siasatan awal polis juga mendapati perbuatan bermotifkan dendam.
Katanya, tiga suspek utama didapati positif dadah manakala dua daripadanya memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Media sebelum ini melaporkan, warga emas, Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, ditemukan rentung dalam kebakaran terbabit.



