
PUTATAN – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick komited dalam membantu menyelesaikan masalah dan keperluan masyarakat Cina Putatan.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang bersetuju memberikan sumbangan menggunakan peruntukan khas menteri masing-masing RM30,000 kepada sekolah SRJK Hwa Shiong Putatan dan Tai Pak Kung Temple Putatan.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Touchpoint Ahli Parlimen masing-masing RM5,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Tiong Hwa Putatan dan Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas UTC Kota Kinabalu.
Menurut beliau, kelulusan peruntukan itu adalah susulan daripada permohonan yang dikemukakan oleh masyarakat Cina Putatan.
“Saya mahu mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah dan keperluan rakyat Putatan.
“Penyelesaian tuntas keperluan mereka terletak di bawah kementerian-kementerian bertanggungjawab dan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menyempurnakan sambutan Tahun Baharu Cina Putatan dan Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas UTC Kota Kinabalu, di Putatan Mall, di sini, pada Ahad.
Mengulas mengenai program berkenaan, Ewon juga berharap agar majlis seumpama itu dapat mengukuhkan lagi perpaduan sedia ada dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
“Malaysia ini adalah tentang kebersamaan, kebersamaan wilayah iaitu wilayah di Semenanjung dan wilayah Borneo. Jika salah satu wilayah ini mahu bercerai maka negara ini tidak akan wujud lagi.
“Kebersamaan etnik juga, kerana dari dahulu sehingga hari ini Malaysia dikenali sebagai negara majmuk pelbagai kaum, agama dan warisan budaya. Jika ada satu etnik yang mahu bercerai dengan etnik lain, maka siapa pun yang menjadi kerajaan akan berhadapan kesukaran mentadbir negara.
“Kerana itu, kita mahu memupuk kebersamaan rakyat sepanjang masa, bukan hanya sambutan Tahun Baharu Cina tetapi juga Hari Raya dan Pesta Kaamatan,” katanya.
Tambahnya, beliau turut menghargai inisiatif kedua-dua persatuan yang melaksanakan penyampaian bantuan kebajikan kepada warga emas dan yang memerlukan sempena program ini.






