PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Sekolah Patriotik UMNO bagi melahirkan pemimpin masa depan yang bukan hanya memahami strategi dan selok-belok politik, tetapi menjiwai nilai perjuangan UMNO yang sebenar.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sekolah itu adalah sebuah institusi yang menjadi medan untuk membentuk roh dan jiwa perjuangan dalam kalangan generasi muda.
“Kita mahu membina kepimpinan yang bukan sekadar mahir berpidato atau menguasai teori, tetapi benar-benar mempunyai daya juang, daya tahan dan daya saing yang tinggi tanpa mengabaikan kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara.
“Saya percaya bahawa usaha ini adalah satu langkah strategik dalam memastikan UMNO terus relevan dan kekal sebagai tunjang politik negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebagai permulaan, katanya, seramai 50 peserta perintis dipilih mengikuti program di sekolah berkenaan dengan modul latihan merangkumi aspek pemikiran kritis, kepimpinan strategik dan pemahaman mendalam terhadap perjuangan UMNO.
Beliau berkata, modul berkenaan akan terus dikembangkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan dalam membentuk generasi pemimpin yang cerdas, berani dan berkeyakinan tinggi untuk menggalas tanggungjawab besar dalam meneruskan obor perjuangan parti.








