PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini bersetuju memberi potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata keputusan ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, membabitkan implikasi kewangan RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Beliau berkata, potongan tol akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari (Isnin) dan berakhir jam 11.59 malam 28 Januari bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja.
Katanya, ia dilaksanakan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember lalu.
“Namun mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
“Ia selaras agenda kerajaan Madani dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat didukung kedudukan kewangan kerajaan kukuh hasil program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.
“Pemberian ini adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang sekian kalinya diberikan Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sejak 2023, Alexander berkata, kerajaan membelanjakan RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan tol percuma musim perayaan hingga tahun lalu.
Beliau berkata, semua pengguna lebuh raya diharap memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini.






