
DENGKIL – Kerajaan tidak menghalang sekumpulan mahasiswa menganjurkan Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dijadual pada esok, bermula di Kompleks SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke Dataran Merdeka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebenaran telah diberikan agar himpunan tersebut diteruskan dan tiada masalah untuk sesiapa sahaja menyertai bantahan berkenaan.
“Kita (kerajaan) tiada masalah (Himpunan Rakyat Benci Rasuah dianjurkan), kebenaran sudah diberikan. Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution) sebut kebenaran telah diberikan.
“Bagi saya tiada masalah, buatlah bantahan berkenaan rasuah. Nak berhimpun, himpunlah,” katanya ketika ditemui media selepas solat Jumaat di Pusat Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menolak dakwaan bahawa kerajaan menghalang Himpunan Rakyat Benci Rasuah diteruskan oleh pihak pengajur.
Dalam pada itu, Anwar menegur pihak mempersoalkan keteguhan Kerajaan Madani dalam memerangi kegiatan rasuah dan salah guna kuasa susulan ia merupakan ancaman kepada ketamadunan dan masa depan negara.
Jelasnya, seharusnya tiada suara sumbang daripada pihak yang dahulunya memperjuangkan pemimpin yang mengambil rasuah sehingga dipenjarakan, namun kini melawan arus dengan menjadi hero, menyokong pembebasan ahli politik tidak berintegriti.
“Soal rasuah yang dibangkit ini, sekarang saya jadi Perdana Menteri dua tahun, apa dia masalah rasuah. Ini yang perlu ditumpukan (namun) dibangkit soal lama yang sebahagiannya sudah diselesaikan.
“Bila kita bangkitkan soal kehilangan berbilion bilion tiada pula suara, tiada pula sokong malahan ada pertahankan pula. Kalau kamu orang kaya berbilion ringgit ramai penyokong penyokong pertahankan, sekarang nak turun lawan rasuah.
“Saya komited kalau ada mana mana pimpinan terlibat, bagitahu tiada masalah. Kita tekankan kita tiada masalah dan ini juga saya tekankan dalam mesyuarat jemaah menteri. Jadi, kalau nak bangkit soal soal lama yang ditutup masa mereka (pembangkang jadi kerajaan). Jadi nak suruh saya ambil tindakan, tindakan apa,” soal Anwar.


