
KOTA KINABALU – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick mencadangkan kepada Kerajaan Sabah melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk mengadakan pemukiman bersama semua kementerian, jabatan dan agensi sebelum cadangan projek dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kabinet Persekutuan telah memutuskan dalam isu tapak setiap projek mesti diselesaikan sebelum cadangan projek dimasukkan dalam RMK13.
“Kerajaan negeri perlu mengambil iktibar daripada rancangan sedia ada.
“Ini penting bagi mengelak masalah atau isu-isu sebelum ini seperti projek sakit, dibatalkan dan diitangguh berulang kembali,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Program/Projek Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah Bil 1/2025, di Pejabat Setiausaha Persekutuan, di sini, pada Khamis.
Mesyuarat itu yang dipengerusikan bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya bertujuan membincangkan intervensi bagi projek-projek berstatus pra-pelaksanaan termasuk yang belum dilaksanakan dari Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) sehingga Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK12).
Ewon berkata, dalam mesyuarat itu beberapa syor intervensi dan libat urus antara kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.
“Antara cadangan itu ialah memperincikan pecahan kategori projek pra pelaksanaan (2013-2022) iaitu menyenaraikan projek-projak yang ditangguh, dibatalkan, ditender semula, apa isu, cadangan, keperluan, intervensi dan sasaran penyiapan setiap projek terbabit.
“Selain itu saya juga mencadangkan Makmal Intervensi projek-projek pra pelaksanaan yang memerlukan penilaian lebih terperinci.
“Pada bulan hadapan, mesyuarat ini akan memfokus kepada intervensi projek-projek pra pelaksanaan di bawah Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Dalam Mesyuarat Khas Penyelarasan Pemantauan pada 7 Disember lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof telah meminta Ewon mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa intervensi ini supaya projek-projek dalam kategori pra-pelaksanaan di Sabah dapat dijayakan dengan berkesan.
Ewon menghargai komitmen semua ahli mesyuarat yang mahu saling melengkapkan amanah dan tanggungjawab masing-masing bagi menjayakan setiap projek pembangunan yang telah dirancang.
“Semoga usaha bersama ini membuahkan hasil yang cemerlang untuk manfaat rakyat dan negara,” katanya.
Dalam mesyuarat itu, Ewon turut menghargai komitmen Kerajaan Sabah khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang telah mengiklankan pengambilan 32 jurutera awam, lima arkitek dan 108 penolong jurutera awam bagi memacu pelaksanaan projek-projek fizikal yang dipertanggungjawabkan kepada JKR Sabah susulan keputusan pengiktirafan sebagai jabatan teknikal bagi melaksanakan projek-projek bernilai RM50 juta ke bawah.






