
KEGAGALAN menyelesaikan isu pemilikan tanah menjadi punca Kerajaan Persekutuan tidak meluluskan semula pinjaman bernilai RM195 juta kepada Kerajaan Kedah.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, Kerajaan Kedah yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempunyai masalah berkaitan pemilikan tanah dalam projek membangunkan Fasa 5 Kulim Hi-Tech (KHTP).
“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi sebenarnya telah pun meluluskan RM195 juta kepada Kerajaan Kedah.
“Masalahnya setelah diluluskan, projek masih belum boleh berjalan kerana tanah yang dikemukakan semasa permohonan pinjaman itu bermasalah dan pembelian tidak dapat diteruskan.
“Kalau belum ada tanah, projek tidak dapat diteruskan. Memang syarat, mana-mana peruntukan Kerajaan Persekutuan ialah, hal pemilikan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum peruntukan diluluskan semula,” katanya dalam klip video di Facebook, hari ini.
Rafizi mendedahkan perkara itu sebagai respons persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang membangkitkan isu itu baru-baru ini.
“Baru-baru ini, nama saya diseru di DUN Kedah. Saya dituduh sengaja memangsakan rakyat Kedah dengan tidak meluluskan permohonan projek di Kedah.
“Tuduhan ini tidak beri gambaran yang penuh. Cerita sebenarnya adalah begini.
“Kerajaan Kedah minta pinjaman dari Kerajaan Persekutuan untuk bangunkan Fasa 5 Kulim Hi-Tech Park atau KHTP,” katanya.
Rafizi menegaskan, Kerajaan Persekutuan mempunyai pengalaman buruk apabila mendahulukan wang pinjaman untuk projek yang mempunyai masalah dalam pemilikan tanah sebelum ini dan bertekad tidak mahu ia berlaku lagi pada masa akan datang.
“Kerajaan Kedah sekarang mendakwa mereka telah mengenal pasti tanah baru yang perlu dibeli dan menuntut supaya Kementerian Ekonomi meluluskan juga pelepasan peruntukan RM195 juta itu walaupun hal pemilikan tanah belum diselesaikan.
“Kita ada banyak pengalaman yang projek diumumkan dahulu dan peruntukan telah disediakan tetapi projek itu tergendala kerana isu pemilikan tanah yang masih tertunggak.
“Sedangkan Kerajaan Persekutuan perlu meminjam wang untuk menyediakan RM195 juta itu dan membayar faedah pinjaman.
“Kalau projek ini tergendala, rakyat Malaysia kena menanggung faedah pinjaman selama mana Kerajaan Kedah tidak dapat menyiapkan projek itu,” katanya.
Pada masa sama Rafizi secara sinis menyindir ADUN Kedah agar sentiasa cakna dan berhati-hati apabila membangkitkan isu berkaitan kementeriannya.
“Kita semua sedia maklum rekod pentadbiran Kerajaan Kedah sekarang bila projek tak jadi, dia akan kata saya tukang baca je ataupun itu projek swasta bukan projek saya.
“Lain kali sebelum seru nama saya untuk kandungan TikTok, semaklah dulu keseluruhan fakta isu itu,” katanya.




