
KUCHING – Lapangan Terbang Kuching baharu bakal dibangunkan di Tanjong Embangan Asajaya.
Menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, lokasi lapangan terbang baharu itu yang dibangunkan itu kerana mahu mengelak kapal terbang melalui ruang udara Indonesia.
“Pada mulanya kita mahu merancang membangunkan lapangan terbang di Matang tetapi pendekatan kapal terbang jika melebihi ketinggian tertentu, maka akan tertakluk kepada perjanjian antarabangsa,” ujar beliau.
Tambah beliau, penerbangan tersebut mungkin terpaksa membayar caj tertentu dan perlu mendapatkan kebenaran.
“Kita tidak mahu masalah, maka kita memilih Tanjung Embang,” kata beliau ketika berucap pada berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Ahad.
Abang Johari berkata, lapangan terbang baharu itu mungkin mengambil inspirasi daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Doha.
“Projek mega ini juga memakan masa lima tahun untuk siap dan dijangka mencecah bernilai RM100 bilion,” kata beliau lagi.
Tambah beliau, projek mega ini turut meningkatkan sosioekonomi penduduk dan sektor pelancongan di Kota Samarahan, Serian dan Lundu.





