
KOTA KINABALU – Chan Loong Wei sah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sabah yang baharu menggantikan Vivian Wong Shir Yee.
Chan berkata, visinya untuk DAPSY Sabah adalah mengutamakan penglibatan akar umbi, penyelesaian masalah komuniti dengan proaktif, dan pematuhan yang tidak berbelah bahagi kepada prinsip parti.
“Jawatan datang dan pergi, tetapi prinsip dan komitmen kita kepada rakyat mesti kekal teguh.
“Parti ini berakar umbi dalam kuasa akar umbi, dan misi kami adalah untuk membina Sabah dan negara yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Konvensyen Biasa DAPSY Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad.
Chan berkata, adalah sangat penting bagi pemimpin untuk berkhidmat dengan ikhlas, mengekalkan integriti dan menegakkan akauntabiliti dengan memastikan pengasingan dana kerajaan dan parti.
“Kita mesti memimpin dengan teladan, DAPSY mesti meneruskan amalan baik DAP dengan tidak menyalahgunakan jawatan kerajaan untuk kepentingan parti.
“Kita mesti terus menegakkan integriti dan menunjukkan kepada umum bahawa kita berbeza daripada orang lain,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa DAPSY akan berdiri teguh menentang serangan tidak berasas terhadap parti itu.
“Kita tidak akan provokasi orang lain, tetapi jika ada pihak yang memfitnah atau menyerang kita, saya akan menjadi orang pertama yang mempertahankan maruah dan nama kita.
“Ini adalah komitmen saya sebagai Ketua DAPSY Sabah yang baharu,” tegas Chan.
Dalam pada itu, Chan menyeru semua ahli supaya mengelak daripada konflik politik yang tidak perlu, sebaliknya memberi tumpuan kepada perkhidmatan rakyat.
Beliau juga menggesa ahli untuk bersatu di belakang Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe, menekankan keperluan untuk menyediakan parti itu bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang sebagai barisan yang padu dan bersatu.
Chan turut merakam ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Vivian Wong, Ketua DAPSY Sabah dan Setiausaha DAP Sabah sekarang atas sumbangan dan kepimpinannya yang tidak ternilai sepanjang tiga tahun lalu.





