
JOHOR BAHRU – Taburan hujan selama lebih 24 jam di beberapa daerah di negeri ini telah menyebabkan banjir semakin memburuk.
Terbaharu, setakat jam 10 pagi tadi, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 3,471 penduduk berbanding 2,524 orang, semalam.
Menurut beliau, angka itu melibatkan 1,025 keluarga daripada 722 keluarga yang direkodkan malam tadi.
Justeru katanya, sebanyak 36 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di daerah Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian.
“Hari kedua banjir di negeri ini menyaksikan Kota Tinggi merupakan daerah paling terjejas dengan seramai 1,136 penduduk daripada 364 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.
“Turut terjejas ialah daerah Kulai dengan seramai 748 penduduk daripada 187 keluarga dipindahkan ke lima PPS di daerah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, jumlah mangsa banjir di Johor Bahru melibatkan 605 penduduk daripada 206 keluarga di lima buah PPS diikuti 526 penduduk daripada 154 keluarga di lima PPS di Kluang dan 436 penduduk daripada 114 penduduk di lapan PPS di Pontian.
Katanya, tiga sungai di negeri ini berada pada paras bahaya melibatkan Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat; Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dan Sungai Siam di Kampung Sungai Siam, Kulai.






