KUANTAN – Seramai 650 guru berkhidmat di 134 pondok dan madrasah berdaftar di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan menerima bantuan khas sekali bayar RM1,000 setiap seorang.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pemberian itu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM650,000.
Katanya, pengagihan bantuan itu bermula Khamis lalu dan dijangka selesai sepenuhnya hujung bulan ini.
“Ini kali pertama MUIP memberikan bantuan khas sebagai tanda penghargaan atas usaha murni pondok dan madrasah dalam memastikan aqidah pelajar dan umat Islam di Pahang terpelihara,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau memaklumkan selain bantuan khas ini, MUIP melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan lain untuk pondok dan madrasah di Pahang.
Antara bantuan tersebut termasuk dermasiswa pondok, bantuan bencana, serta sokongan kepada program-program bersifat sekali bayar dan sebagainya.







