
KUDAT – Pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terperangkap dalam kereta terkunci bersebelahan Bank Simpanan Nasional (BSN) Pekan Kudat di sini pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.29 petang berkenaan kejadian.
“Setibanya di lokasi empat minit kemudian, pasukan bomba mendapati seorang kanak-kanak terkunci dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia.
“Pasukan bomba bertindak membuka pintu kereta terkunci menggunakan peralatan khas.
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada pukul 4.37 petang,” katanya.
Seramai tujuh anggota bomba dan sepasukan anggota polis turut membantu dalam operasi menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.







