Permohonan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 2025 kini dibuka!

Oleh: Husna Irdina (Pelatih UPM)

ADAKAH anda seorang belia yang meminati bidang keusahawanan tetapi tiada modal untuk memulakan perniagaan?

Jangan risau, Kerajaan Madani sentiasa peka dengan minat dan potensi belia Bumiputera di Malaysia! Kini, anda boleh mula memohon untuk menyertai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) secara dalam talian.

Apa itu Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)?

Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera atau singkatannya TUBE, mula diperkenalkan pada tahun 2014 sebagai satu inisiatif kerajaan untuk menggalakkan golongan belia Bumiputera menceburi bidang perniagaan.

Semasa Majlis Penutup Kongres Usahawan Muda Bumiputera pada Mac 2014, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada SME Corp. Malaysia bagi melaksanakan Program TUBE pada tahun itu.

Objektif & Sasaran TUBE

Program TUBE secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara dengan memfokuskan kepada keusahawanan sebagai bidang utama untuk belia maju ke hadapan. 

Program ini menyasarkan belia Bumiputera dalam lingkungan 18-30 tahun yang mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang keusahawanan, khususnya belia yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan.

Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera ini dilaksanakan bertunjangkan usaha:

I. Menyemai semangat keusahawanan dalam kalangan belia

II. Anjakan paradigma belia daripada pencari pekerjaan kepada pemilik perniagaan; serta 

III. Membentuk daya tahan dan jati diri belia dalam mengendalikan perniagaan sendiri

Syarat/Kriteria Kelayakan Permohonan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)

Sebelum anda membuat permohonan, pastikan anda menepati syarat / kriteria berikut:

  1. Warganegara Malaysia bertaraf Bumiputera, berumur antara 18-30 tahun sewaktu tarikh tutup permohonan dalam talian (3 Januari 2025)
  2. Telah mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) / Ordinan Negeri dan pendaftaran perniagaan hendaklah kurang daripada 36 bulan sewaktu tarikh tamat tempoh permohonan dalam talian (3 Januari 2025)
  3. Bagi graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPTA/IPTS) yang telah mendaftarkan perniagaan semasa dalam tempoh pengajian kerana keperluan pembelajaran, tempoh tamat pengajian rasmi mestilah kurang 12 bulan daripada tarikh tutup permohonan dalam talian (3 Januari 2025). Surat pengesahan tamat pengajian mestilah dimuat naik semasa pendaftaran dalam talian dilakukan.
  4. Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang:
  • Mempunyai Sijil Kemahiran / Sijil Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) daripada mana-mana institusi atau pusat latihan kemahiran yang diiktiraf oleh Kementerian dan Agensi yang berkaitan;
  • Pelajar atau graduan bidang Teknousahawan daripada mana-mana Institut Pengajian Tinggi atau Pusat Latihan Kemahiran yang diiktiraf oleh Kementerian dan Agensi yang berkaitan; dan
  • Telah membuka dan memiliki akaun semasa syarikat yang masih aktif daripada mana-mana institusi perbankan dalam Malaysia
  1. Sihat tubuh badan / tiada masalah kesihatan yang kronik / tidak hamil / tidak berada dalam tempoh berpantang kerana melahirkan anak, dan komited untuk mengikuti lathan secara fizikal di lokasi latihan yang akan ditetapkan oleh SME Corp. Malaysia (7 pagi-12 tengah malam)
  2. Pemohon mestilah:
  • Tidak pernah disabit kesalahan jenayah
  • Tidak diisytiharkan muflis
  • Tidak berada dalam situasi keberhutangan kewangan yang serius / meminjam daripada peminjam wang berlesen atau tidak berlesen
  • Tidak pernah terlibat kes dadah
  • Bebas daripada status / proses kebankrapan dan / proses tindakan mahkamah
  • Tiada sejarah atau sedang disenarai hitam oleh mana-mana institusi kewangan yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC)
  1. Pemohon bukanlah ahli keluarga terdekat kepada mana-mana pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia. 
  2. Bagi pemohon yang merupakan pasangan suami isteri atau adik-beradik:
  • Hanya salah seorang sahaja yang boleh dipertimbangkan untuk menyertai program pada tahun semasa
  • Hanya salah seorang sahaja daripada pasangan suami / isteri / adik-beradik untuk setiap pengambilan
  1. Pemohon mestilah tidak bekerja:
  • Pekerjaan sama ada dalam sektor awam atau sektor swasta; atau
  • Pekerjaan sama ada bertaraf sambilan, kontrak, atau tetap
  1. Pemohon mestilah tidak pernah menyertai Program TUBE sebelum ini (TUBE 1.0 – TUBE-X, TUBE@IPT, TUBE@PENJANA, TUBE@PEMERKASA, TUBE@TVETMARA dan TUBE@Mikro MADANI).
  2. Pemohon yang pernah mengikuti sepenuhnya Fasa 1 dan Fasa 2 bagi latihan fizikal atau Fasa 1 bagi latihan yang dilaksanakan secara dalam talian bagi Program TUBE sebelum ini tetapi tidak dipertimbangkan GP semasa tamat program adalah tidak layak memohon.
  3. Hanya pelajar IPTA/IPTS semester akhir di tahun akhir pengajian dibenarkan untuk memohon. Namun,
  • Sekiranya pemohon memenuhi kriteria kelayakan permohonan dan diterima mengikuti program, pemohon tidak dibenarkan untuk menyambung pelajaran dalam tempoh satu tahun dari tarikh akhir sesi latihan TUBE yang disertai sebagai komitmen kepada Fasa 2 program ini
  • Pemohon bukan dalam tempoh menjalani latihan industri semasa Program TUBE 1 dijalankan kelak / semasa dalam tempoh Fasa 2 (Bimbingan & Pemantauan) 

Fasa & Komponen TUBE

Program TUBE ini direka khas bagi mempersiapkan belia yang ingin memulakan perniagaan dengan ketahanan mental dan fizikal, ilmu pengetahuan dan maklumat asas keusahawanan, selain didedahkan kepada dunia perniagaan yang sebenar menerusi dua fasa pelaksanaan, iaitu: 

Fasa 1: Bengkel Asas Keusahawanan (7 hari)

Menerusi Fasa 1 ini, peserta akan didedahkan dengan pelbagai elemen perniagaan, termasuklah Jualan dan Pemasaran, Pengurusan Pentadbiran dan Sumber Manusia, Pengurusan Operasi dan Pengurusan Kewangan, Pendaftaran Perniagaan, Penjenamaan, Harta Intelek, Peraturan dan Undang-undang Perniagaan serta Pendigitalan Perniagaan. 

Tambahan lagi, peserta juga akan mendapat informasi mengenai kemudahan bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan dan institusi perbankan.

Di Fasa 1 juga, peserta perlu menghasilkan Business Model Canvas (BMC) dan membentangkan cadangan Rancangan Perniagaan (RP). 

Bengkel Asas Keusahawanan ini secara tidak langsung membantu para peserta:

i. lebih memahami asas keusahawanan dan perniagaan, membantu peserta menggerakkan perniagaan mereka dengan efisien;

ii. memastikan amalan tadbir urus perniagaan yang baik, seperti penyimpanan rekod kewangan dan maklumat perniagaan.

iii. merancang agihan sumber bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti perniagaan yang dijalankan

Fasa 2: Bimbingan Perniagaan & Pemantauan (12 bulan)

Peserta yang berjaya menamatkan Fasa 1 akan memulakan perniagaan berdasarkan Rancangan Perniagaan (RP) yang telah dibentangkan kepada Panel Penilai semasa Sesi Pith2Match. Operasi perniagaan pada Fasa ini akan dibimbing dan dipantau oleh Penyedia Perkhidmatan yang dilantik oleh SME Corp. Malaysia. Sepanjang di Fasa ini, peserta hendaklah:

i. Mengemukakan laporan perkembangan perniagaan pada setiap bulan / setiap suku tahun dan / atau apabila diperlukan, melalui platform/ kaedah yangakan ditentukan;

ii. Memberikan kerjasama sekiranya peserta berada dalam tempoh pemantauan, lawatan fizikal ke premis peserta perlu dilakukan; dan

iii. WAJIB mengikuti program yang dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia dari semasa ke semasa seperti latihan / seminar / aktiviti susulan yang berkaitan

12 bulan adalah tempoh yang ditetapkan untuk fasa ini bagi memastikan peserta Program TUBE mendapat khidmat nasihat yang mencukupi agar perniagaan yang dijalankan akan dapat terus berdaya tahan dalam jangka panjang.

Terdapat 3 komponen bagi Program TUBE ini, iaitu:

  1. Latihan
  • Latihan dilaksanakan secara fizikal selama tujuh hari di pusat latihan yang akan ditentukan oleh SME Corp. Malaysia
  • Latihan berfokuskan modul-modul berkaitan pembangunan perniagaan, pemasaran dan pengurusan kewangan, iaitu selaras dengan situasi semasa.
  1. Bantuan Geran Perniagaan
  • Usahawan belia yang layak akan dipertimbangkan geran permulaan sehingga maksimum RM15,000.00.
  1. Khidmat nasihat & Pemantauan
  • Komponen ini akan diselaras oleh Penyedia Perkhidmatan yang dilantik oleh SME Corp. Malaysia bagi membimbing peserta yang baru membuka perniagaan, dalam tempoh maksimum 12 bulan. 
  • Sekiranya peserta memilih untuk tidak meneruskan perniagaan selepas menerima geran, maka peserta perlu memulangkan semula jumlah geran yang diterima.

Faedah Menyertai Program TUBE

Bagi belia yang layak menyertai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), anda akan menerima bantuan seperti yang berikut:

  1. Latihan asas keusahawanan untuk menjalankan perniagaan
  2. Geran Permulaan Perniagaan sehingga maksimum RM15,000.00 selepas tamat latihan (layak untuk dipertimbangkan)
  3. Khidmat nasihat dan pemantauan perniagaan melalui
  • Penyedia Perkhidmatan yang dilantik; dan
  • Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia

    4. Syarikat yang berjaya di bawah Program ini juga boleh mendapatkan bantuan tambahan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan seperti MSE Corp. Malaysia, MARA, PUNB, SME Bank, Bank Rakyat, dan Agro Bank atau lain-lain kementerian atau agensi yang menyediakan program dan bantuan keusahawanan untuk mengembangkan perniagaan yang dijalankan.

Kisah Kejayaan Alumni Program TUBE

Sejak Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera dilaksanakan pada tahun 2014, ramai alumni program telah berjaya bergelar usahawan muda, seperti yang dilaporkan oleh wartawan Harian Metro, dengan 6,261 usahawan belia direkodkan setakat tahun 2021. Angka ini terus meningkat dari tahun ke tahun. 

Untuk pembacaan, sila layari: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2021/09/761112/tube-lahir-6268-usahawan-belia-metrotv 

Kisah kejayaan alumni yang mencapai  jumlah jualan perniagaan tinggi:

https://l.threads.net/?u=https%3A%2F%2Fwww.bernama.com%2Fbm%2Fam%2Fnews.php%3Fid%3D2296965&e=AT3KEE0BhhZ8CACb9Kcel93daPBio3_0eoZrwM2VUlJzAt-ctI46IKkHFiXnKLczSX5PJws7VtrBoVmXKXB6gPZH6sGJEkAVqVXhSY_D_BaJsb3RI7G68pr_oLu-rJEEdjM4cJTSfQg

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/05/1246226/program-alumni-tube-x-capai-nilai-jualan-rm20-juta#google_vignette

Cara Permohonan

Permohonan dalam talian akan dibuka mulai 16 Disember 2024 hingga 3 Januari 2025 (9 pagi-5 petang) sahaja. Permohonan yang dibuat sebelum atau selepas tarikh tersebut tidak akan diterima. 

Permohonan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera boleh dibuat di pautan: https://mybpi.smecorp.gov.my/ (terhad sekali permohonan sahaja)

Sekiranya pemohon gagal dihubungi dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tutup permohonan (secara dalam talian), permohonan dianggap tidak berjaya. 

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), pemohon boleh layari laman web rasmi Program TUBE di https://tube.smecorp.gov.my/index.php 

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi:

atau pegawai bertugas di:

SME Corporation Malaysia

Aras 6, SME 1, Blok B, Platinum Sentral

Jalan Stesen Sentral 2

Kuala Lumpur Sentral

50470 KUALA LUMPUR

Email: tube@smecorp.gov.my

Talian Info : 03-9213 0077

Talian Faks : 03-2775 6001

Waktu Operasi

Isnin hingga Jumaat

9 pagi-5 petang

Waktu Rehat

Isnin hingga Khamis: 1 petang-2 petang

Jumaat: 12.15 tengah hari-2.45 petang

Jadi, apa tunggu lagi? Jangan lepaskan peluang ini untuk merealisasikan impian perniagaan anda dengan sokongan penuh kerajaan menerusi Program TUBE!

Related Posts

STeP perkasa usahawan, buka akses bantuan dan geran perniagaan

SUNGAI SIPUT – Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) terus memperkukuh agenda pembangunan usahawan negeri apabila seramai 30 usahawan sekitar Jalong dan kawasan berhampiran menyertai Program Taklimat Bantuan Keusahawanan dan Pendaftaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Cahaya matahari hasilkan bahan api dari sisa plastik

SEKUMPULAN saintis kini sedang membangunkan kaedah inovatif bagi menangani dua krisis global secara serentak, iaitu pencemaran plastik dan permintaan terhadap tenaga bersih, dengan menukarkan sisa plastik kepada bahan api menggunakan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Selesai BRICS, PMX mulakan siri kedua lawatan kerja ke Keralam

Selesai BRICS, PMX mulakan siri kedua lawatan kerja ke Keralam

Program MADANI Kita himpun perkhidmatan, inisiatif kerajaan

Program MADANI Kita himpun perkhidmatan, inisiatif kerajaan

Malaysia sertai BRICS buka perdagangan luas, kekal pendekatan jalan tengah – KP JKOM

Malaysia sertai BRICS buka perdagangan luas, kekal pendekatan jalan tengah – KP JKOM

Industri kayu rekod RM9.4 bilion nilai eksport hingga Jun 2026

Industri kayu rekod RM9.4 bilion nilai eksport hingga Jun 2026

Penantian berbaloi, pasangan suami isteri bawa pulang motosikal cabutan bertuah PMK

Penantian berbaloi, pasangan suami isteri bawa pulang motosikal cabutan bertuah PMK

UMNO kekal Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal bukan perkara baharu

UMNO kekal Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal bukan perkara baharu