
PLATFORM Meta bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak A$50 juta (AS$31.85 juta) susulan skandal pendedahan data peribadi 311,127 pengguna Facebook kepada syarikat Cambridge Analytica.
Pejabat Pesuruhjaya Maklumat Australia (OAIC) mendakwa bahawa maklumat peribadi beberapa pengguna telah didedahkan kepada aplikasi kuiz personaliti Facebook, This is Your Digital Life, yang mana merupakan sebahagian daripada pelanggaran skandal yang lebih besar.
Pelanggaran tersebut pertama kali dilaporkan oleh The Guardian pada awal tahun 2018, di mana Facebook dikenakan denda oleh pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan United Kingdom pada tahun 2019.
Menurut kenyataan pada tahun 2020, dalam pertikaian undang-undang yang melibatkan pengawas privasi Australia dengan Meta sebanyak 311,127 data peribadi pengguna Facebook di Australia didapati ‘terdedah kepada risiko pendedahan’ kepada firma perunding Cambridge Analytica dan digunakan untuk tujuan pemprofilan,
Pada Mac 2023, pengawas privasi berjaya meyakinkan mahkamah tinggi untuk tidak mendengar rayuan, yang dianggap sebagai kemenangan dan membolehkannya meneruskan pendakwaan.
Pada Jun 2023, mahkamah persekutuan negara itu mengarahkan Meta dan pesuruhjaya privasi untuk menjalani proses mediasi.
“Persetujuan hari ini merupakan bayaran terbesar yang pernah diberikan untuk menangani kebimbangan mengenai privasi individu di Australia,” kata Pesuruhjaya Maklumat Australia, Elizabeth Tydd.
Cambridge Analytica, sebuah firma perundingan dari Britain, diketahui telah menyimpan data peribadi berjuta-juta pengguna Facebook tanpa kebenaran mereka, sebelum menggunakan data tersebut terutamanya untuk pengiklanan politik, termasuk membantu Donald Trump dan kempen Brexit di UK.
Seorang jurucakap Meta memberitahu Reuters bahawa syarikat itu telah menyelesaikan tuntutan mahkamah di Australia tanpa pengakuan bersalah, menutup bab berhubung dakwaan mengenai amalan lampau firma tersebut.






