
SOKONGAN orang Melayu kepada pembangkang tidak membawa kebaikan kepada negara sebaliknya ‘menempah tragedi’.
Hal itu kerana sanggahan pembangkang lebih berfokuskan usaha merebut kuasa untuk menyelamatkan ‘tengkuk’ pihak tertentu.
Maksudnya, mereka kini bergelut mencari jalan agar orang tertentu tidak dikenakan tindakan atas salah laku tertentu sepanjang memegang kuasa sebelum bermulanya era Malaysia Madani.
Dalam keadaan sedemikian, matlamat utama mereka bukanlah sangat membawa negara ini ke arah kemakmuran, keharmonian, dan kesejahteraan.
Oleh sebab itu, mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuklah memperdayakan rakyat dengan slogan keramat – ‘mempertahankan Islam dan membela Melayu’.
Disebabkan itulah niat mereka, kelihatan pembangkang tidak lagi segan silu menunggang isu yang tidak sepatutnya diperjuangkan.
Sebagai contoh, demi meretakkan keutuhan Kerajaan Perpaduan, mereka sanggup ‘memekak’ dua puluh empat jam sehari dalam isu ‘Titah Adendum’.
Mereka berlagak pejuang Datuk Seri Najib pada hal merekalah yang menghumban Perdana Menteri Keenam (PMVI) itu ke penjara.
Atas faktor dan matlamat yang sama, mereka bertempik sorak tujuh hari seminggu dalam isu Batu Puteh – mempertahankan Dr. Mahathir yang tidak meneruskan tuntutan ke atas pulau kecil itu.
Dikeluarkan mereka segala hujah untuk mensucikan Dr. Mahathir sekalipun kepalsuan jelas ‘tertonggeng’ di tengah halaman.
Sesi persidangan Parlimen yang sepatutnya menjadi medan membela nasib rakyat dalam pelbagai isu tiba-tiba lebih berwajah perbicaraan di mahkamah.
Pelbagai dalil yang serong konteksnya dan hujah falasi dilontar ke arah beberapa batang tubuh pemimpin Kerajaan Perpaduan, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).
Apabila sesi perbahasan ditarik ke arah haluan yang betul, tampak jelas ahli parlimen pembangkang tidak berupaya mengisi ruang itu dengan bijaksana.
Mereka terkial-kial menepati keperluan itu kerana dalam fikiran mereka, pembangkang hanya perlu melalak dan memekak, kemudian memanipulasikan sesi itu untuk menyebarkan fitnah di luar dewan.
Inilah sikap dan wajah sebenar pembangkang yang kini bermuka-muka bermanis muka kepada rakyat dengan jerutan naratif yang cukup licik.
Berhati-hatilah kita berdepan dengan puak ini kerana dalam hidangan yang ditawarkan mereka itu ada tuba yang tak mudah dikesan.
Sedarlah bahawa tragedi bakal berlaku – negara sukar dipulihkan – jika mereka kembali diberi peluang berada di Putrajaya.







