
KOTA KINABALU – Kontraktor fotovoltaik (PV) solar perlu memastikan operasi mereka mematuhi protokol keselamatan dalam semua kerja pemasangan elektrik.
Pengerusi Yayasan Pengguna Kebangsaan Malaysia (Cawangan Sabah), David Chan berkata, perkara ini penting bagi melindungi keselamatan pekerja dan orang awam.
“Sabah Electricity (SE) telah menegaskan bahawa semua pemasangan elektrik mesti dilakukan oleh kontraktor yang memiliki sijil sah seperti ECOS, CIBC, dan lesen NIOSH.
“Kami mendapati bahawa terdapat kontraktor yang beroperasi tanpa sijil ECOS yang sah atau tanpa kebenaran yang diperlukan daripada SE.
“Amalan ini bukan sahaja membahayakan pekerja tetapi juga merosakkan keyakinan awam terhadap inisiatif tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam kenyataan pada Khamis susulan terkesan dengan insiden tragis melibatkan tiga pekerja kontrak pemasangan lampu solar yang maut terkena renjatan elektrik di Ranau, Jumaat lepas.
Jelas David, dengan pematuhan keselamatan, hanya profesional yang layak dan bertauliah melaksanakan kerja berisiko tinggi, seterusnya mengurangkan kemungkinan berlakunya sebarang kemalangan.
“Pihak berkuasa yang berkaitan juga diharap untuk memperkukuhkan penguatkuasaan piawaian keselamatan dan menjalankan audit berkala terhadap kontraktor bagi memastikan pematuhan sepenuhnya.
“Biarlah tragedi ini menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk menegakkan standard keselamatan tertinggi dalam sektor tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya.





