PUTRAJAYA – Bayaran haji bagi tahun hadapan naik 20 peratus bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 dan M40 susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.
Bagi tahun 2025, kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada tahun ini.
Kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu pula RM23,500 berbanding RM19,152 seorang.
Untuk bakal haji kumpulan T20 yang kali pertama kekal RM33,300 pada 2025 iaitu bersamaan kos haji bagi seorang haji muassasah yang ditetapkan pada 2024.
Perkara itu diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman dalam sidang media khas hari ini.
Syed Hamadah bagaimanapun menjelaskan TH dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji 1446H/2025M di mana kos haji masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah.
“Bagi mengawal kos, TH berusaha mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak meningkat,” katanya.
Katanya, kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci merangkumi 87 peratus daripada keseluruhan kos dengan ia adalah di luar kawalan TH.
Beliau menjelaskan pihak TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji kepada jemaah Muassasah dalam kategori B40 dan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu.
Katanya, bagi kumpulan B40, Bantuan Kewangan Haji diperuntukkan adalah RM18,300 atau 55 peratus manakala bagi jemaah haji dalam kalangan M40, sebanyak 29 peratus atau RM9,800.
“Bantuan Kewangan Haji pada musim haji kali ini dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun,” katanya.




