
KOTA KINABALU – Pengambilan Polis Bantuan di seluruh negara akan ditingkatkan kepada sembilan siri pada tahun depan bagi mengisi kekosongan.
Menurut Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, Polis Diraja Malaysia, Komisioner Polis (CP) Datuk Wan Hassan Wan Ahmad kekosongan bagi polis bantuan masih kurang dalam 40 peratus.
“Kita merancang ada sembilan siri Polis bantuan akan dibuat di seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak atas permintaan yang begitu tinggi dalam agensi-agensi.
“Kita memang ada kekosongan yang banyak peruntukan RM100,000 lebih, pengisian sekarang baru dalam 60,000,” katanya selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Jumaat.
Wan Hassan berkata, pengambilan Polis Bantuan tidak hanya bergantung kepada kekosongan tetapi juga kekosongan pusat latihan dan kelepasan tapisan keselamatan.
“Jadi mereka ini kita kena tapis, kita tak nak ada pembaziran kalau kita tak tapis tiba-tiba mereka masuk dan disarungkan uniform tiba-tiba ada rekod jenayah lampau.
“Sebab itu setiap pengambilan kita teliti, cek tapisan keselamatan lepas, tidak ada rekod jenayah dan sebagainya.
“Jika melepasi semua tapisan baharu kita ambil dan masukkan ke pusat latihan untuk latihan dan mereka ini kembali kepada agensi yang terlibat,” ujarnya.
Jelasnya, permohonan Polis Bantuan untuk sesebuah agensi adalah begantung kepada kekuatan dan keperluan mereka.
“Tengok berapa besar atau kecilnya agensi tersebut dan kita peruntukan berdasarkan kepada kekuatan agensi itu.
“Kecilnya agensi, kecillah kita peruntukan pengisiannya,” jelasnya.

Sebagai rekod, seramai 193 polis bantuan berjaya menamatkan latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7.
Dalam majlis sama, Insp/PB Masran Lamsing terpilih sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan manakala Insp/PB Supri Said sebagai Pelatih Latihan Luar Terbaik dan Pelatih Latihan Terbaik Akademik dianugerahkan kepada Dsp/PB Wan Saufi Mohd Ali.



