MALAYSIA merekodkan keseluruhan pelaburan diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi berjumlah RM254.7 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah peningkatan 10.7 peratus berbanding RM230.2 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Perdana Menteri berkata nilai itu membabitkan 4,753 projek yang dijangka menawarkan sejumlah 159,347 peluang pekerjaan baharu.
“Perkara itu dimaklumkan sewaktu saya mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 8 Tahun 2024 terkait soal prestasi pelaburan,” katanya melalui hantaran di laman X, malam tadi.
Perdana Menteri memaklumkan, MPN juga bersetuju dan mengesahkan Garis Panduan bagi Pembangunan Pusat Data Mampan yang mengandungi metrik kecekapan Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE).
Jelasnya, garis panduan itu akan diguna pakai sebagai syarat kelayakan insentif cukai mengikut Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC) yang juga inisiatif penambahbaikan polisi terkait usaha memacu pelaburan pusat data.
“Kerajaan Madani berterusan menambah baik dasar sedia ada dan mewujudkan dasar baharu sebagai langkah meningkatkan daya saing negara,” ujarnya.





