
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan harga subsidi 10 hingga 30 peratus barangan keperluan harian menerusi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di kawasan terjejas banjir di seluruh negara, terutama Kelantan dan Terengganu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program itu bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dapat ditawarkan kepada penduduk terjejas banjir bagi mendapatkan harga lebih murah daripada harga pasaran.
“KPDN cawangan akan lakukan kerjasama dengan jawatankuasa pengurusan bencana daerah (laksana PJRM).
“Walaupun sememangnya ada dalam jadual tetapi kita bersedia untuk tambah kerana tahu mereka menghadapi bencana ini terkesan dan tanggung kerugian,” katanya selepas melakukan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Jernih, Kemaman, petang tadi.
Armizan sebelum itu menyantuni 83 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkesan banjir di sekolah berkenaan.

Beliau menjelaskan usaha itu bagi memastikan rakyat mendapat bantuan segera ketika berdepan bencana banjir ketika ini.
“Penduduk turut menerima sumbangan bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) berbentuk spesifik dan ada barangan lain tidak diberikan.
“Jadi PJRM ini boleh memainkan peranan itu dengan memberi bekalan (selain barangan bantuan diterima) pada harga subsidi” ujarnya.
Sementara itu, Armizan berkata, sebanyak 1,369 Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan 635 Pemborong Terpilih Daerah (DDW) di seluruh negara dibenarkan menambah had simpanan bekalan barangan keperluan harian sebanyak 30 peratus daripada had simpanan yang ditetapkan pada musim banjir ini.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan diambil bagi memastikan bekalan barangan keperluan itu mencukupi di kawasan terlibat bencana.






