
PEMIMPIN Pas wajar mempunyai rasa malu dengan Kerajaan Pusat kerana tidak menguruskan bencana banjir dengan sebaiknya dan hanya bersikap lepas tangan.
Kerajaan Pusat memperlakukan seadil-adilnya membahagikan peranan kepada setiap agensi kerajaan dan dalam mengaturkan gerak kerja bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
Pemerhati politik, Norman Radzuan berkata, pemimpin pembangkang bersikap ‘buta’ berkunjung ke Kuala Lumpur manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turun ke lapangan risaukan nasib rakyat.
“Bayangkan TPM turun ke Terengganu untuk hulurkan bantuan, Menteri Besarnya pula tiada kerana hadir ke Perhimpunan Agung Bersatu yang tiada keperluan untuk dirinya berada di situ.
“Kemudian PMX turun salurkan bantuan RM50 juta untuk negeri Kelantan dan Terengganu. Yang lucunya PMX juga terpaksa menghulurkan bonus kepada kakitangan kerajaan negeri Terengganu.
“Bagaimana kerajaan Terengganu boleh berbelanja besar sedangkan pimpinan tidak kreatif untuk menarik pelabur atau mempromosikan pelancongan negeri sebagai sumber pendapatan.
“Bukan sekadar itu, PMX telah menggerakkan tabung bantuan bencana banjir. Kerajaan dalam tempoh dua hari sahaja berjaya meraih sumbangan sebanyak RM35.8 juta daripada 23 buah syarikat swasta dan badan korporat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan segera untuk disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu, masing-masing RM25 juta, susulan keadaan banjir yang serius di kedua-dua negeri tersebut.
Mengulas lanjut, Norman berkata, terdapat juga dalam kalangan masyarakat Melayu memikirkan bantuan korporat menghampiri RM40 juta itu, 90 peratus datang dari syarikat Cina yang mereka maki hamun setiap hari dan bila susah bangsa Cina juga yang segera menghulurkan bantuan.
Dia berkata, bukan sekadar itu, dari negeri Selangor dan Pulau Pinang juga mengambil langkah segera menghantar bantuan logistik bagi membantu mangsa banjir.
“Kerajaan Pulau telah menggerakkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Bandaraya Seberang Perai, Jabatan Sukarela Malaysia (RELA) Pulau Pinang dan One Hope Charity and Welfare.
“Sekarang kita bertanya apa yg dilakukan kerajaan negeri pembangkang yang dilanda banjir? Di Kedah Menteri Besar sibuk membersihkan rumah mangsa banjir.
“Itu bukan kerja Menteri Besar nak ‘acting’ ala Rina Harun. Peranan MB adalah membincangkan dan mobilisasikan pasukan sukarelawan ke kawasan-kawasan terjejas. Sebarang keperluan segera perlu dihantar laporan kepada agensi-agensi kerajaan bukan jadi pelakon.
“Begitu juga sebagai pimpinan parti, gerakkan pasukan-pasukan jihad Pas dari sekolah, pondok untuk menjadi sukarelawan. Ada beribu pelajar di sana gerakkan mereka ke lokasi tertentu,” katanya.
Justeru, Norman juga menegaskan ketika ini merupakan Fasa Pemulihan iaitu membantu mangsa banjir seperti pemberian bantuan kewangan, makanan, baik pulih dan keperluan harian yang lain.
Tambahnya, dia berpandangan, Menteri Besar Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu mobilisasikan pasukan sukarelawan dan agensi- agensi negeri dan tidak terlalu bergantung mengharapkan agar Kerajaan Pusat menguruskan semua perkara.
Dia juga bersetuju dengan saranan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa dalam pilihan raya kita bukan hendak pilih imam tetapi kita mahu pilih wakil rakyat.
“Akhirnya inilah terjadi mereka tidak tahu menguruskan bencana banjir dan berharap pada bantuan luar.
“Tiada wakil rakyatkah yang kreatif mencari dana mangsa banjir? Selalu wakil rakyat pembangkang bijak mengaktifkan ‘tin milo’. Mengapa kali ini tidak dilakukan segera?
“Patut pemimpin-pemimpin Pas malu dengan Khairul Aming bagaimana dia boleh menguruskan bantuan 20,000 mangsa banjir tanpa wang bantuan orang ramai dan belajarlah dengan Khairul Aming bagaimana dia mobilisasikan teamnya untuk membantu puluhan ribu mangsa banjir setiap hari.
“Sikapnya yang terpuji bagaimana amanah Khairul Aming apabila dia menolak untuk menerima wang derma dari orang ramai kerana risau terlepas pandang dengann wang amanah orang ramai.
“Berbeza dengan amanah yang diberikan Khairul Aming, bungkusan disumbangnya boleh dibuka semula. Ia amat memalukan. Sebelum itu bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ‘repacking’ semula untuk diletakkan di dalam plastik berlogo Pas,” katanya.
Terdahulu, usahawan dan pempengaruh terkenal Khairul Amin Kamarulzaman berharap pelbagai pihak akan terus meyumbang barangan keperluan mangsa banjir di pusat pengumpulan yang dioperasikannya untuk diagihkan di seluruh Kelantan.




