
MIRI – Seorang suri rumah tempatan berusia 50-an di Miri menjadi mangsa penipuan kerja sambilan yang diiklankan di platform TikTok, mengakibatkan kerugian lebih RM130,000.
Menurut kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Manca Ata, kes bermula pada awal November apabila mangsa tertarik dengan iklan kerja sambilan di TikTok.
“Setelah menghubungi individu yang tidak dikenali melalui aplikasi tersebut, mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram yang dikendalikan oleh suspek.
Jelas beliau, mangsa kemudian ditugaskan untuk mempromosikan produk jenama pakaian, di samping dijanjikan komisen yang dikreditkan ke akaunnya.
“Mangsa yang terpedaya membuat beberapa transaksi wang secara berperingkat ke akaun bank yang diberikan oleh suspek,” jelas beliau lagi.
Kata beliau, apabila mangsa diminta untuk membayar lebih bagi mengeluarkan komisen keuntungan tersebut, dia menyedari dirinya telah ditipu.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja sambilan yang diiklankan di media sosial,” ujar beliau lagi.
Penyelidikan dan semakan teliti perlu dilakukan sebelum menerima tawaran sedemikian.
Selain itu, pengguna digalakkan menyemak status syarikat atau laman web melalui platform rasmi seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Mangsa penipuan boleh segera menghubungi National Scam Response Center di talian 997 atau menggunakan aplikasi seperti Whoscall dan Check Scammers CCID untuk mengenal pasti scammer.




