
TUNGKU – Hasrat warga Daerah Kecil Tungku untuk memiliki mesin juruwang automatik (ATM) akhirnya tercapai selepas impian itu dikabulkan oleh Pertubuhan Kasih Iqhmalya Lahad Datu.
Mesin ATM tersebut dipasang di Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tungku bersebelahan dengan Pejabat Daerah Kecil Tungku dan telah beroperasi sepenuhnya semalam.
Pengerusinya, Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin berkata, usaha untuk mewujudkan mesin ATM di Tungku telah diusahakan sejak 2022 bagi memudahkan urusan penduduk khususnya di 37 buah kampung di Tungku.
“Usaha ini tercetus kerana cabaran dihadapi rakyat Tungku berikutan jarak terdekat mesin ATM adalah 21 kilometer dari Tungku iaitu di Cenderawasih, Felda Sahabat.
“Kalau kita ke Felda itu ada duit di mesin tidak mengapa, jika ‘offline’ lagi menyusahkan.
“Dengan adanya mesin ATM ini Alhamdulillah memudahkan lagi urusan seharian masyarakat dan lebih dekat,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press di sini pada Sabtu.
Jelasnya, selaku anak jati Tungku dan komitmen berterusan pertubuhannya yang berteraskan kebajikan masyarakat, beliau percaya akan banyak lagi perubahan positif berlaku yang memacu pertumbuhan ekonomi Tungku ke arah lebih maju.
“Ini juga antara bukti kerjasama komuniti setempat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Bukan Kerajaan serta pemimpin politik tempatan dalam menghasilkan perubahan positif untuk kawasan Tungku dan Alhamdulillah kita dapat wujudkan ATM yang pertama di daerah kecil Tungku.
“Hari ini kita ada ATM, mungkin esok lusa kita wujudkan pula Balai Bomba yang sekian lama kita nantikan,” ujarnya.






