KANGAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkar taktik licik sindiket pengedaran minuman keras tidak berkastam yang menyembunyikan dagangan mereka dalam kompartmen khas lori di Kuala Perlis, awal bulan ini.
Pengarah JKDM negeri, Ismail Hashim berkata, rampasan dilakukan pada 6 November lalu kira-kira pukul 12 tengah hari oleh pasukan Kastam Unit Narkotik Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar selepas pemeriksaan rapi terhadap sebuah lori jenis HICOM berwarna putih di Terminal Roll On Roll Off (RORO).
“Pemeriksaan tersebut menemukan 1,656 liter minuman keras yang disembunyikan dalam lori yang diikrar membawa bakul plastik.
“Sebanyak 1,626 botol dan 240 tin minuman keras yang dianggarkan bernilai RM172,244.40 dengan cukai sebanyak RM217,815.16 telah dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Perlis, di sini, hari ini.

Menurutnya, pemandu lori berusia 25 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan, manakala lori yang dianggarkan bernilai RM100,000 itu turut disita.
Tambah beliau, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan minuman keras tidak berkastam dari Pulau Langkawi dalam ruangan simpanan rahsia lori yang ditutupi oleh bakul-bakul plastik.
Dalam perkembangan berkaitan, sejak 28 Oktober hingga 15 November, JKDM merampas rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai RM221,276.40 dengan nilai cukai RM333,976.54.
Jumlah rampasan tersebut melibatkan empat kes yang tidak termasuk kes narkotik dan dilakukan secara kolaborasi strategik antara unit, cawangan serta bahagian JKDM bagi membanteras penyeludupan dan barangan tidak berkastam.






