
PUTATAN – Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan siasatan dalaman dilaksanakan menerusi penubuhan Badan Penyiasatan Dalam berhubung insiden kemalangan maut di Lintasan Rata Tertutup Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas di sini pada Selasa.
Menurut JKNS dalam satu kenyataan media pada Rabu, menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Pada masa sama, JKNS juga sedang mengambil inisiatif untuk meringankan beban keluarga mangsa yang terkesan akibat insiden tersebut.
Dalam pada itu, dalam kenyataan yang sama, JKSN menjelaskan bahawa perkhidmatan keretapi yang terlibat adalah PU502 yang bertolak dari Stesen Beaufort pada pukul 11 pagi dan tiba di Stesen Putatan pada pukul 12.54 tengah hari.
“Ketika menghampiri kawasan lintasan rata tertutup di SK Petagas, Pemandu Lokomotif yang bertugas telah membunyikan hon sebagai amaran, namun dalam jarak kira-kira 150 meter, beliau terlihat dua orang awam yang sedang cuba melintas landasan.
“Pemandu Lokomotif bertindak membrek dengan segera, namun kedua-dua individu tersebut tidak memberikan tindak balas,” jelas kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, JKNS telah membuat laporan polis di Balai Polis Putatan untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Laporan tersebut dibuat oleh Pemandu Lokomotif yang bertugas semasa insiden berlaku.
“Perkhidmatan keretapi PU502 diteruskan selepas mendapatkan kebenaran daripada pihak polis pada pukul 2.40 petang.
“Dianggarkan terdapat lebih kurang 90 penumpang di dalam keretapi ketika kejadian, namun tiada laporan kecederaan penumpang diterima,” katanya.

